|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| SUBANG JAYA: Taylor's College memperkukuh komitmennya dalam menyediakan pendidikan berteraskan masa hadapan melalui pelancaran program pengajian baharunya, Diploma dalam Reka Bentuk Digital (DIDD) baru-baru ini.
Program ini diperkenalkan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap tenaga mahir dalam bidang digital dan teknologi kreatif di Malaysia.
Selain itu, ia juga direka khusus bagi memberikan pendedahan yang mendalam kepada pelajar terhadap kemahiran teknikal dan praktikal yang diperlukan dalam ekonomi digital masa kini.
Menekankan aspek pembelajaran inovatif melalui penggunaan teknologi terkini dan pendekatan berasaskan industri, pelajar berpeluang mengikuti pembelajaran menggunakan fasiliti moden seperti Taylor's Virtual Online Future Technology & Extended Reality (Makmal VORTEX XR) dan Studio Pemodelan 3D di Taylor's Lakeside Campus.
Makmal ini dilengkapi dengan teknologi Realiti Maya (VR) dan Realiti Lanjutan (XR) yang membolehkan pelajar mereka bentuk serta mencipta pengalaman digital dalam persekitaran imersif berskala sebenar.
Ini termasuk keupayaan menggabungkan objek dunia sebenar ke dunia maya serta membangunkan kandungan XR dengan lebih praktikal.
Pelaksanaan program ini juga sejajar dengan aspirasi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang mengutamakan pembangunan bakat digital tempatan.
Ia bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja bersedia untuk memenuhi pasaran kerja, malah mampu menyumbang kepada pembangunan ekosistem digital negara.
Pengarah Kampus Taylor's College, Josephine Tan berkata, pelancaran program ini adalah langkah strategik bagi merapatkan jurang kemahiran dalam industri digital dan kreatif yang sedang berkembang pesat.
"Kami teruja untuk memperkenalkan program ini kerana ia bukan sahaja menekankan pendekatan pembelajaran progresif, tetapi juga memberi tumpuan kepada kemahiran yang relevan untuk keperluan masa depan."
"Objektif kami adalah untuk melahirkan graduan yang bersedia dari segi teknikal dan praktikal, serta mampu menjadi aset kepada pembangunan ekonomi digital negara," katanya.
Antara keunikan utama program ini adalah pengintegrasian Pembelajaran Berasaskan Kerja atau Work-Based Learning (WBL) selama 20 minggu.
Kaedah ini memberi peluang kepada pelajar untuk belajar secara langsung bersama tenaga pengajar akademik dan profesional industri.
Ia sekali gus membolehkan pelajar memahami realiti industri sebenar serta meningkatkan kemahiran komunikasi, kreativiti dan penyelesaian masalah.
Selain itu, Taylor's College turut menjalinkan kerjasama strategik bersama beberapa rakan industri termasuk CraveFX, Fusion Works, iTrainKids, Geek Fam, Cause Effect Consultants dan Virtualtech Frontier.
Ia bagi membuka peluang kepada pelajar untuk terlibat secara terus dalam projek industri dan latihan praktikal yang meningkatkan kebolehpasaran mereka selepas tamat pengajian.
Ketua Pengajian Diploma dan Pendidikan Profesional Taylor's College, Ts Dr Wong Chee Kong, menjelaskan bahawa program WBL menyediakan nilai tambah penting kepada pengalaman pelajar.
Menurut beliau, pembelajaran berasaskan kerja membolehkan pelajar menerima bimbingan secara langsung daripada pakar industri serta memperkukuh kefahaman akademik mereka melalui konteks dunia sebenar.
Wong juga berkata pihaknya percaya bahawa pelajar akan lebih yakin dan bersedia untuk menempuh alam pekerjaan sebenar yang lebih mencabar setelah melalui program WBL.
Majlis pelancaran program yang bertempat di Taylor's Lakeside Campus ini turut menampilkan sesi pengalaman interaktif yang dikendalikan oleh Pengarah Program, Hijjaz Hamidi Abdul Aziz.
Sesi ini memberikan gambaran keseluruhan mengenai pendekatan pembelajaran program dan demonstrasi kemahiran praktikal yang akan diterapkan sepanjang tempoh pengajian.
Selain itu, graduan program ini juga ditawarkan laluan fleksibel untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Taylor's University.
Antara program lanjutan yang ditawarkan termasuk Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk (Kepujian) dalam Media Kreatif serta Tahun Dua Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Ruang Interaktif (Kepujian).
Taylor's College sebelum ini mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 100 peratus seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) dari tahun 2021 hingga 2023.
Ia membuktikan keupayaan institusi dalam melahirkan graduan yang berkualiti, berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan landskap industri.
Untuk maklumat lanjut mengenai Diploma dalam Reka Bentuk Digital Taylor's College, layari laman web rasmi Taylor's College hari ini. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |