|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) merangkap Ahli Lembaga Pengarah 'World Trade Centers Association' (WTCA) Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Pelantikan itu adalah bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 18 April 2025 hingga 17 April 2027. Watikah pelantikan tersebut disampaikan Dekan Fakulti Pendidikan UKM, Profesor Dr Mohd Mahzan Awang dan disaksikan oleh Pro Naib Canselor (Strategi & Pembangunan Korporat UKM) Profesor Datuk Dr Roslee Rajikan, pagi tadi.
Turut menerima watikah pelantikan adalah Presiden MUBARAK Malaysia, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad, bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.
Peranan Irmohizam sebagai Profesor Adjung di Fakulti Pendidikan UKM sangat signifikan kerana beliau juga adalah alumni Fakulti Pendidikan UKM dalam jurusan Doktor Falsafah Pendidikan Dewasa dan Perkembangan Profesional dan juga Sarjana Undang-Undang di Fakulti Undang-undang UKM.
Peranan beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah WTCA juga bakal membuka peluang luas untuk Fakulti Pendidikan UKM menonjol di peringkat antarabangsa dan memperkukuhkan jaringan global UKM dalam bidang pendidikan dan industri Acara Perniagaan.
Hal ini juga dapat membangunkan jaringan industri di kampus di Fakulti Pendidikan UKM dengan mengadakan program pembelajaran sepanjang hayat serta kolaborasi dengan rakan strategik yang bakal dimanfaatkan secara lebih meluas di peringkat global.
"Saya akan berikan yang terbaik dalam melaksanakan amanah ini terutama dalam pendidikan berteras industri dan mengadakan kolaborasi dengan pihak tertentu bagi menaikkan nama Fakulti Pendidikan UKM.
"Saya amat teruja untuk membabitkan diri dalam bidang pendidikan dan akan memastikan ilmu pengetahuan dan pengalaman saya akan dikongsikan dengan sebaiknya bersama warga UKM," katanya.
WTCKL adalah Ahli Akreditasi Premier World Trade Centers Association (WTCA) yang merupakan pusat Acara Perniagaan terkemuka di Malaysia.
Terletak di kawasan strategik di Kuala Lumpur, WTCKL menawarkan kemudahan tanpa tandingan yang direka khas bagi hubungan global dan kemajuan ekonomi. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |