Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Omar Ahmad
Title :Graduan UTM laris, penuhi keperluan Revolusi Industri 4.0
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :19 April 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus membuktikan keunggulannya sebagai institusi pengajian tinggi yang melahirkan graduan berkualiti tinggi, berdaya saing dan bersedia memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0. Naib Canselor UTM, Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim, berkata pendekatan UTM yang menekankan penyelesaian masalah kompleks secara lestari menjadi teras pendidikan di universiti terbabit, sejajar dengan slogan institusi itu, 'Menginovasi Penyelesaian'. "Modul pembelajaran di UTM dirangka untuk melahirkan graduan yang mampu menyelesaikan isu sebenar dunia dan negara, mengikut tahap pengajian dan kepakaran masing-masing," katanya ketika ditemui di Pejabat Naib Canselor, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim. Beliau menjelaskan, UTM kini menawarkan 57 program Sarjana Muda, dengan lebih 40 program berasaskan bidang sains, teknologi dan kejuruteraan. Menariknya, UTM adalah universiti pertama di Malaysia yang menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI), dengan 114 pelajar memulakan pengajian pada sesi 2024/2025. "Malah, pelajar dalam bidang sains sosial turut didedahkan kepada pengekodan dan asas AI, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk membina masyarakat celik teknologi dan inovasi," katanya. Nikmati gaji tinggi Kesan daripada pendekatan menyeluruh ini, kadar kebolehpasaran graduan UTM mencecah 100 peratus, dengan ramai graduan menikmati gaji permulaan melebihi RM4,000 sebulan. Menurut Mohd Shafry, dari sudut pengiktirafan global, UTM kini berada di kedudukan ke-181 dunia dan ke-28 Asia dalam QS World University Rankings 2025. Empat subjeknya, termasuk Senibina, Data Sains dan Kejuruteraan Petroleum - tersenarai dalam kelompok Top 100 dunia. UTM turut memperkenalkan kerangka kurikulum baharu, 'Future-Oriented Curriculum Framework', yang membolehkan fakulti memperbaharui kursus secara fleksibel bagi menepati kehendak industri yang sentiasa berubah.   Inisiatif pengajaran turut diperkukuh dengan teknologi terkini seperti AI, data sains dan makmal maya (virtual lab). Menurut Mohd Shafry, pelaksanaan pembelajaran berasaskan pengalaman dan latihan industri, termasuk di Imperial College London dan Seoul National University, membuka ruang pendedahan global kepada pelajar. Malah, program mobiliti antarabangsa mencatatkan lebih 1,997 pelajar UTM ke luar negara dan menerima 1,131 pelajar antarabangsa ke kampus Johor Bahru dan Pagoh. Program ini menjadikan graduan UTM kompetitif dalam pasaran kerja global. "UTM turut menjadi pilihan pelajar antarabangsa dari China, Jepun, Korea, Asia Barat, Brunei dan Asia Tenggara, hasil gabungan nilai, inovasi dan pengalaman industri yang unik," kata Mohd Shafry. Perluas jaringan pasaran Dalam pada itu, UTM kini menyasar untuk mengembangkan jaringan antarabangsa ke pasaran baharu seperti Uzbekistan dan Afrika Selatan, sekali gus memperkukuh kedudukan global dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang. Menyesuaikan trend pembelajaran masa kini, UTM menawarkan 100 kursus microcredential, menyokong konsep Unbundling Education seperti yang ditegaskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. Mengulas lanjut, Mohd Shafry berkata, UTM adalah inklusif dengan pengambilan graduan baharu adalah dari semua golongan termasuk golongan mahasiswa berstatus orang kurang upaya (OKU). Katanya, pemilihan adalah berdasarkan sistem merit iaitu markah akademik, kokurikulum dan kesesuaian program seperti yang ditetapkan KPT. "Pelajar perlu pastikan mereka memenuhi syarat am dan khas program yang dipilih. Peluang untuk pelajar cemerlang termasuk fast track ke PhD, yang mana graduan kelas pertama boleh terus sambung ke peringkat PhD. "Pihak UTM juga menyediakan biasiswa dan bantuan untuk pelajar daripada golongan B40, mengikut syarat ditetapkan," katanya. Menurut Mohd Shafry lagi, universiti bukan sekadar tempat menuntut ilmu, tetapi ruang untuk pelajar membina sahsiah, menguasai teknologi, dan memperkasa kesarjaanan. "Graduan UTM harus menjadi ejen perubahan yang membawa kesejahteraan kepada masyarakat dunia," katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035