|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Petronas (UTP) melakar sejarah apabila menjadi universiti pertama di Malaysia yang tersenarai dalam kedudukan 50 universiti terbaik di Asia oleh Times Higher Education (THE).
UTP berada di kedudukan 43 pada edisi 2025, berbanding kedudukannya di tangga ke-52 pada tahun lalu.
Selain UTP, Universiti Malaya (UM) turut tersenarai dan berada di kedudukan 65 berbanding 64 sebelum ini.
Dalam satu kenyataan menerusi Facebook rasminya hari ini, UTP turut berkongsi berita gembira berkenaan.
"Times Higher Education baru sahaja mengumumkan bahawa Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) mencapai kedudukan yang tidak pernah dicapai sebelum ini dalam THE Asia University Rankings 2025, UTP melonjak ke tempat ke-43.
"Bukan sahaja UTP secara rasminya menembusi kedudukan 50 Universiti Terbaik di Asia, tetapi kami juga dengan bangganya mengekalkan kedudukan sebagai universiti nombor satu di Malaysia," katanya dalam kenyataan itu.
UTP dalam kenyataan sama turut berkongsi perjalanan dalam ranking THE sebelum ini bermula pada 2016 dengan universiti itu berada pada kedudukan ke- 150.
"Daripada ranking 150 pada 2016 kepada 43 pada 2025, prestasi luar biasa ini mencerminkan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi terhadap pengajaran, kecemerlangan penyelidikan, impak terhadap industri dan tinjauan global.
"Pencapaian ini mustahil dicapai tanpa sokongan luar biasa PETRONAS, ahli akademik dan rakan industri kami yang dihargai, dedikasi fakulti, kakitangan, pelajar, alumni dan penaja. Terima kasih kerana membantu kami merealisasikannya," katanya.
UTP dalam kenyataan sama turut berkata, kejayaan itu adalah permulaan untuk universiti terbabit melangkah lebih jauh dan menetapkan penanda aras baharu untuk tahun akan datang.
Selain UTP dan UM, beberapa universiti lain turut tersenarai, bagaimanapun berlaku penurunan ranking, termasuk Universiti Teknologi Malaysia daripada tangga ke 85 ke 86, Universiti Kebangsaan Malaysia (101 ke 103), dan Universiti Sains Malaysia (99 ke 103).
Untuk rekod, penarafan itu berdasarkan 18 penunjuk prestasi yang menilai universiti merentas pelbagai dimensi, termasuk pengajaran, penyelidikan dan pandangan antarabangsa. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |