Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :A’qilah Riduan
Title :Ekspo Selangkah ke UiTM beri input lengkap pengajian akademik ditawarkan
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :26 April 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA LUMPUR: Ekspo Selangkah ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) (ESKU) edisi 2025 yang dijangka menerima kehadiran 402,918 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mendapatkan input berkaitan pengajian akademik turut membuka ruang kepada ibu bapa dan golongan profesional yang berminat melanjutkan pengajian ke peringkat pascasiswazah. Penganjuran acara itu yang diadakan selama tiga hari berakhir esok di kampus UiTM di Shah Alam, Selangor, akan diteruskan di seluruh kampus cawangannya pada 10 hingga 18 Mei depan. Program ini memberi pendekatan lebih strategik dan interaktif dalam usaha menyampaikan maklumat terkini kepada lepasan SPM dan Kolej Matrikulasi, sekali gus memastikan UiTM terus menjadi destinasi pengajian utama. Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, berkata penganjuran tahun ini lebih bersifat inklusif dan memfokuskan kepada pendekatan mesra pelajar dengan membawa tema dan slogan 'Jadikan UiTM Pilihan No 1' dengan penggunaan logo khas bagi memperkukuh penjenamaan universiti. "Kita mahu memastikan UiTM terus menjadi pilihan utama bukan hanya dari aspek akademik, tetapi juga nilai tambah ditawarkan termasuk kebolehpasaran graduan, kemudahan pembiayaan dan jaringan industri," katanya dalam kenyataan hari ini. Shahrin berkata, statistik semasa menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan UiTM pada 2024 meningkat kepada 92.6 peratus, sekali gus menjadikan ia antara universiti paling diyakini majikan. "UiTM turut menerima 'Employers' Choice of University Award' daripada Talentbank pada Selasa lalu bersama beberapa universiti tempatan lain termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). "Kejayaan UiTM dan universiti awam lain itu susulan keupayaannya melahirkan graduan yang bukan saja memenuhi keperluan pasaran kerja, malah memiliki daya saing dan kemahiran insaniah tinggi," katanya. Shahrin berkata, sebanyak 31 ruang pameran interaktif dibuka membabitkan penyertaan dari Pusat Tanggungjawab (PTj) UiTM. "Pameran turut memberi peluang pengunjung berbincang secara terus bersama wakil akademik, mendapatkan khidmat nasihat dan membuat semakan awal syarat kelayakan kemasukan melalui Sistem Semak Syarat di laman selangkah.uitm.edu.my," katanya. Pelajar yang berminat mendapatkan maklumat lengkap mengenai permohonan dan kemasukan ke UiTM boleh melayari portal rasmi pengambilan.uitm.edu.my/e-syarat atau mengunjungi reruai Bahagian Pengambilan Pelajar sepanjang ekspo berlangsung.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035