|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada bapa seni bina negara, Hijjas Kasturi pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-101 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Kampus Shah Alam di sini hari ini.
Penganugerahan kepada tokoh arkitek negara itu disampaikan oleh Pro Canselor UiTM, Tan Sri Zarinah Anwar ketika sidang pertama sesi pembukaan istiadat konvokesyen berkenaan.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, anugerah itu diberikan atas jasa besar Hijjas yang menjadi pengasas School of Applied Arts di Institut Teknologi MARA (kini UiTM) pada tahun 1967 dan asas kepada penubuhan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU) serta Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR).
"Beliau adalah antara penggerak awal pendidikan seni bina di Malaysia dan dianggap sebagai bapa seni bina moden Malaysia, yang banyak menzahirkan jiwa Melayu dalam setiap reka bentuknya.
"Penganugerahan gelaran Profesor Emeritus ini adalah satu penghormatan tertinggi kepada sumbangan besar Hijjas dalam pendidikan, pemikiran seni bina dan pembangunan negara secara keseluruhannya.
"UiTM berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan beliau, dan terus menjadikannya sumber inspirasi untuk seluruh warga akademik dan mahasiswa," katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen UiTM ke-101di sini, hari ini.
Seramai 26,696 graduan menerima diploma, ijazah sarjana muda, master dan ijazah doktor falsafah (PHD) dalam pelbagai bidang pada majlis berkenaan kali ini.
Sementara itu Hijjas, 86, ketika ditemui melahirkan kesyukuran dan menyifatkan gelaran Profesor Emeritus adalah penganugerahan terbesar baginya.
Beliau mengakui dapat jiwanya sentiasa dekat bersama UiTM sehingga kini.
"Kita memberikan sumbangan dan mengajar dengan jiwa kepada masyarakat, bangsa dan negara bukan semata-mata kerana penganugerahan. Apabila kita lakukan yang terbaik segala penghargaan datang dengan sendiri kepada kita," katanya.
Pelopor dunia seni bina negara itu bukan saja dikenali melalui karya-karya ikoniknya seperti Menara Maybank, Menara Telekom, dan Kompleks Haji Sepang, malah peranannya yang besar dalam pembangunan pendidikan tinggi Bumiputera.
Beliau mendapat pendidikan di University of Melbourne dan seterusnya memperoleh diploma dalam Perancangan Bandar dan Wilayah serta menerima pelbagai Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dari institusi ternama termasuk University of Adelaide, University of Melbourne dan Universiti Malaya.
Sepanjang kerjayanya, Hijjas memenangi pelbagai anugerah peringkat antarabangsa dan kebangsaan termasuk Anugerah Pingat Emas daripada Pertubuhan Akitek Malaysia dan Pingat Presiden oleh Lembaga Arkitek Malaysia (2023).
Beliau mengasaskan firma Hijjas Kasturi Associates pada 1977 dan memainkan peranan penting dalam merencana pembangunan bandar, institusi pendidikan, bangunan ikonik dan perancangan Putrajaya.
Beliau dikenali sebagai pendukung kelestarian seni dan alam, melalui inisiatif seperti Rimbun Dahan yang menjadi pusat residensi seni penting di rantau ini. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |