|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| SHAH ALAM: Bahasa Melayu mampu menyesuaikan diri dengan perubahan zaman kerana sifatnya yang dinamik selain usaha pelbagai pihak yang giat memperkasakan penggunaannya seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Vijayaletchumy Subramaniam, berkata teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), gamifikasi dan infografik mampu memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi masa kini.
"Penerapan AI dalam pembelajaran dan pengajaran membuka ruang baharu dalam pendidikan dan penyelidikan bahasa Melayu.
"Teknologi ini bukan sahaja membantu pelajar dan pendidik, malah turut menyumbang kepada kefahaman masyarakat umum terhadap bahasa Melayu dengan cara yang lebih menarik dan relevan," katanya dalam Program Ceramah Umum Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) bertajuk "Transformasi Bahasa Melayu dalam Era Digital" anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, dengan kerjasama Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Shah Alam.
Majlis turut dihadiri Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, Mohd Salahuddin Datuk Paduka Mohamed dan Penolong Naib Canselor (Pemerkasaan Adiwangsa) UiTM Shah Alam, Prof Dr Amer Shakir Zainol.
Vijayaletchumy berkata, transformasi digital ini bukan sahaja memberi kelebihan kepada bahasa Melayu, tetapi turut menjamin kelangsungan penggunaannya dalam dunia moden yang semakin bergantung kepada teknologi.
Katanya, perkembangan teknologi semasa juga dilihat mampu memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi masa kini.
Sementara itu, DBP dalam kenyataannya menyebut program itu diadakan dengan tujuan menyemai rasa cinta dan keyakinan masyarakat terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan tamadun tinggi.
Ia juga selari dengan kemampuan bahasa Melayu untuk kekal relevan dan boleh disesuaikan dengan perkembangan zaman. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |