Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Nor Fazlina Abdul Rahim
Title :Kelantan pertimbang cadangan UMK wujud 18 'food bank' di Jeli tangani ancaman gajah liar
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :25 Mei 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KOTA BHARU: Kerajaan negeri mengesahkan sedang mempertimbang cadangan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk menyediakan 'food bank' atau bank makanan di 18 stesen dikenal pasti di Jeli bagi menangani isu ancaman gajah. Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata perkara berkenaan perlu diperincikan terlebih dahulu sebelum pertimbangan kelulusan dibuat. "Cadangan berhubung 'food bank' atau bank makanan oleh UMK ini sudah dalam pengetahuan kami. Cuma disebabkan ia membabitkan keluasan agak besar, kita perlu kenal pasti keadaan tanah itu secara terperinci. "Status tanah itu penting sama ada ia hutan simpan atau sebaliknya dan perkara ini dalam penelitian serta pertimbangan kerajaan negeri. "Bagaimanapun kita menyambut baik cadangan UMK kerana ia bertujuan untuk mengatasi konflik antara manusia dan gajah," katanya ketika dihubungi. Terdahulu media melaporkan UMK mengenal pasti 18 stesen membabitkan keluasan 360 hektar di Jeli untuk dijadikan 'food bank' atau bank makanan bagi mengekang konflik hidupan liar terutama gangguan gajah terhadap penduduk yang kini semakin membimbangkan. Ini kerana Jeli adalah daerah di Kelantan yang dikenal pasti paling kritikal berlaku konflik manusia dan gajah sehingga mengakibatkan kerugian ribuan ringgit apabila tanaman dan harta benda penduduk musnah, selain penduduk terpaksa hidup dalam kebimbangan. Ketua Projek Kajian Kesesuaian Mewujudkan Koridor Gajah di Jeli, Prof Madya Dr Kamarul Ariffin Kambali @ Hambali, berkata 18 stesen berkenaan telah dikenal pasti di tiga mukim iaitu Mukim Belimbing, Mukim Kalai dan Mukim Jeli Tepi Sungai dengan anggaran kos keseluruhan RM1.3 juta. Beliau yang juga Pensyarah Pengurusan Hidupan Liar dan Ekologi UMK berkata, pihaknya sudah menjalankan kajian dengan kerjasama Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dan PERHILITAN sejak Julai 2023. Katanya, sebagai permulaan atau projek rintis, bank makanan itu dimulakan di Mukim Kalai membabitkan tiga stesen dengan setiap stesen atau kawasan itu berkeluasan 20 hektar yang menelan kos RM74,000 setiap satu.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035