|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| Tahun lalu, kami hanya berkhemah di Lubuk Gajah Tunggal, Sungai Sepia yang terletak di dalam Taman Negara Pahang.
Trip kali ini pula, kami akan bergerak dan berkhemah di satu lubuk yang lokasinya ke atas lagi.
Kami berlepas dari jeti Kuala Sat Pahang dengan empat buah bot panjang pada pukul 9.30 pagi. Pada pukul 5.30 petang barulah kami tiba di tapakperkhemahan.
Perjalanan yang mengambil masa selama lapan jam dengan lebih dari 10 kali turun untuk menolak bot di laluan air sungai cetek serta mengangkut barangan melepasi jeram-jeram berbatu itu amat memenatkan. Namun, itulah cabarannya untuk mendapatkan ikan idaman iaitu kelah si raja ikan sungai pergunungan.
Selepas bergotong-royong menyiapkan khemah utama, geng muda bergegas turun memancing sementara saya berehat sahaja sepanjang malam.
Hari kedua
Selepas bersarapan, saya berjalan kaki sejauh kira-kira 700 meter ke satu lubuk yang telah saya rancang untuk cuba selepas melihatnya ketika menuju ke tapak perkhemahan semalam.
Umpan saya kerap habis akibat getuan ikan-ikan kecil dan dua jam selepas itu saya pulang tanpa sebarang hasil.
Petang itu, saya sambung semula memancing di hadapan khemah sahaja. Rakan-rakan yang lain telah keluar bersama tekong bot untuk memancing di lubuk pilihan masing-masing.
Hampir maghrib barulah mereka pulang dengan hasil pancingan. Bagi ikan kelah yang mati, ia disimpan ke dalam tong ais, manakala yang masih hidup ‘ditambat’ di dalam sungai agar terus hidup sehingga hari balik nanti.
Diberitakan, Adam menjadi pemancing pertama yang memperolehi ikan kelah seberat kira-kira 2.3 kilogram.
Hari ketiga
Selepas sarapan, saya pergi semula ke tempat semalam. Tidak menunggu lama, umpan saya direntap seekor kelah baya sekilogram, dan ia berjaya didaratkan.
Sementara itu, saya perhatikan dua buah bot menuju ke bahagian bawah, manakala dua buah lagi menghala ke sebelah atas dari tapak perkhemahan.
Saya meneruskan pancingan sehingga tengah hari tanpa hasil tambahan. Kemudian, saya pulang ke khemah untuk mandi dan berehat, lagi pun khemah tidak boleh ditinggalkan kosong kerana dibimbangi digeladah haiwan liar seperti biawak atau monyet.
Cuaca panas terik dengan bahang yang teramat panas menyebabkan saya tidak boleh berehat di bawah khemah. Kesempatan yang ada saya gunakan untuk memancing dan berlindung di bawah rimbunan pohon buluh di hadapan khemah. Saya dihadiahi seekor ikan kejor ketika bersantai itu.
Hari semakin senja dan geng yang keluar dengan bot ke lubuk-lubuk jauh pulang dengan hasil memuaskan.
Hari Keempat
Pagi-pagi lagi, saya sudah ke lubuk yang sama ketika dapat kelah semalam. Sedang leka menyiapkan sebatang lagi joran, tiba-tiba joran pertama yang telah dilabuhkan umpan tadi ‘terbang’ ditarik ikan, nasib baik ia berikat.
Berkejaran saya mendapatkan joran. Disebabkan lubuk itu kurang bereba, ikan tersebut dilayan dengan tenang, dan akhirnya seekor kelah saiz yang agak baik berjaya ditebingkan.
Kemudian, rakan-rakan yang lain pun tiba untuk memancing bersama. Tidak beberapa lama kemudian, seekor lagi kelah saiz kecil berjaya saya pancing.
Cuaca semakin panas hingga membuatkan saya pulang ke khemah untuk berehat. Pada pukul 2 petang barulah saya turun memancing semula.
Kali ini, saya seorang diri ke lubuk yang terletak lebih kurang 400 meter dari khemah. Hanya ikan-ikan kecil yang menghabiskan umpan dilabuhkan sehinggalah saya beralih umpan.
Kemudian, barulah kena seekor ikan kejor dan saya terus menamatkan sesi pancingan. Sebaik tiba di khemah, saya dapati rakan-rakan yang lain juga pulang.
Sebaik sahaja cuaca cerah keesokan harinya, kami ‘bongkar’ tapak perkhemahan, mengemas dan berpindah ke Lubuk Gajah Tunggal yang kami tinggal pada tahun lepas bagi menghabiskan baki-baki hari trip. Ia terletak kira-kira dua jam setengah perjalanan menghilir balik.
Selepas siap tapak perkhemahan, masing-masing memancing di lubuk di hadapan khemah sahaja.
Kawasan sekitar kurang hasil kerana hanya seekor kelah yang berjaya di pancing sehinggalah hari terakhir trip. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |