|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN – Penubuhan Pusat Latihan Jakoa Paya Bungor (PLPB) amat signifikan dalam menyediakan ilmu dan kemahiran kepada generasi muda Orang Asli, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan bangsa dan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, PLPB bukan sekadar institusi latihan tetapi menjadi harapan baharu buat pewaris desa yang mahu melakar kejayaan dalam bidang kemahiran dan industri strategik.
“Insya-Allah, PLPB akan menjadi tempat lahirnya generasi Orang Asli yang cemerlang, berdaya maju serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian PLPB yang disempurnakan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
PLPB yang mula beroperasi sejak 1969 melalui proses naik taraf menyeluruh bernilai RM30 juta, kini tampil dengan wajah baharu serta hala tuju yang lebih segar.
Antara kemudahan yang disediakan termasuk bilik kuliah, bengkel jahitan, blok kemahiran dan komuniti, serta fasiliti sukan dan rekreasi.
Menurut Ahmad Zahid, pusat itu sudah pun mendapat pengiktirafan sebagai pusat bertauliah di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran, membolehkan pelatih memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap dua dan tiga.
“Kohort pertama dijangka memulakan pengajian menjelang penghujung tahun ini. Ini adalah langkah penting dalam memperkasa belia Orang Asli agar lebih kompetitif dan relevan dengan keperluan industri,” katanya.
Menurutnya, terbaharu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan 20 perjawatan baharu bagi PLPB tanpa tukar ganti merangkumi pelbagai gred dan skim bagi kelancaran urusan operasi pusat ini.
“Insya-Allah, PLPB akan menjadi tempat lahirnya generasi Orang Asli yang cemerlang, berdaya maju dan mampu melakar lebih banyak kejayaan bukan sahaja untuk diri mereka sendiri, tetapi juga sebagai penyumbang kepada pembangunan bangsa serta negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |