|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA LUMPUR: Di sebalik kegembiraan anak muda melangkah ke menara gading setiap tahun, terselit pengorbanan dan perjuangan untuk mereka dalam meneruskan kehidupan masing-masing sepanjang tempoh pengajian.
Kos sara hidup yang semakin tinggi dengan pembiayaan diterima tidak mencukupi, memaksa sebahagian pelajar bukan setakat perlu menelaah pelajaran, malah menyingsing lengan dengan bekerja secara sambilan demi kelangsungan hidup.
Situasi itu membuatkan ada dalam kalangan mahasiswa kini secara purata terpaksa bekerja sambilan sehingga lapan jam sehari, demi meraih pendapatan untuk menampung kehidupan dan membeli keperluan pembelajaran di universiti.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Muhammad Haziq Sabri, mengakui peningkatan kos sara hidup menjadi isu utama yang menekan mahasiswa terutama daripada keluarga golongan M40 dan B40.
"Masa bekerja mereka bergantung pada jadual kelas dan jenis pekerjaan. Ramai mahasiswa lebih cenderung bekerja pada hujung minggu, terutama yang belajar sepenuh masa.
"Bagaimanapun, ada juga yang bekerja hampir setiap hari, contohnya selepas kelas, jika jadual mereka lebih fleksibel atau jika memang perlukan pendapatan lebih.
"Golongan ini sering terhimpit dengan kos makanan, pengangkutan, peralatan pengajian dan yuran, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang mencabar," katanya kepada BH.
Muhammad Haziq berkata, pekerjaan sambilan paling lazim dilakukan pelajar termasuk pelayan restoran, juruwang, pembantu jualan dan penghantar makanan dengan kadar upah di antara RM6 hingga RM10 sejam, bergantung lokasi, jenis kerja dan syarikat.
"Isu ini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pelajar, malah berpotensi memberi kesan kepada prestasi akademik dan pembabitan mereka dalam aktiviti kampus.
"MPP percaya keseimbangan antara akademik dan keperluan kewangan amat penting, dan sokongan sistematik perlu diwujudkan," katanya.
Beliau berkata, beberapa cadangan sudah diusulkan bagi meringankan beban kewangan mahasiswa termasuk peluang kerja sambilan dalam kampus dan program bantuan makanan berkala yang membabitkan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan alumni.
"Selain itu, bantuan dari segi kewangan termasuk geran mikro atau insentif tunai jangka pendek untuk pelajar terpilih, peningkatan promosi biasiswa dan bantuan zakat dan kedai kampus harga rendah atau pasar komuniti mahasiswa.
"MPP juga sedang merangka sesi libat urus bersama pengurusan tertinggi universiti bagi mengetengahkan isu kos sara hidup ini.
"Kami juga bercadang mewujudkan jawatankuasa khas bersama Jabatan Hal Ehwal Pelajar bagi memantau dan mencadangkan inisiatif jangka pendek dan panjang," katanya.
Bayar sendiri pengajian
Pelajar jurusan pengurusan pembinaan UiTM, Nur Fadilah Misran, 22, bekerja sambilan di kafe minuman demi menampung segala keperluan dan pembiayaan pengajian yang ditanggung sendiri.
"Kalau ada peluang untuk kerja sepenuh masa, memang saya akan teruskan (kerja sepenuh masa), tetapi berikutan jadual kelas yang padat, saya hanya boleh kerja separuh masa sahaja," katanya.
Nur Fadilah mendedahkan, hanya menerima pembiayaan Perbadanan Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM2,725 untuk satu semester, merangkumi bayaran untuk yuran pengajian dan sara hidup bagi tempoh enam bulan.
Walaupun menghargai pembiayaan diterima, namun jumlah itu memang tidak dapat menampung keseluruhan kos hidup di kampus untuk satu semester dan perlu sokongan daripada keluarga masing-masing.
"Bayaran rumah sewa sudah cecah RM250 sebulan, minyak motor RM50, belum masuk lagi kos penyelenggaraan motor, bil internet untuk urusan tugasan serta banyak lagi kos lain yang perlu ditanggung, memang tidak cukup untuk sebulan," katanya.
Nur Fadilah berkata, situasi yang menghimpit itu menyebabkan dia pernah menjadikan mi segera sebagai makanan rutin selama seminggu kerana tidak mahu menyusahkan ibu bapanya di kampung.
Walaupun berdepan kesulitan dalam kehidupan hariannya sebagai pelajar, namun Nur Fadilah tetap berusaha membantu keluarganya.
"Jika ada duit lebih hasil kerja sambilan ini, saya akan kirimkan duit kepada ibu dan adik-beradik saya," katanya.
Pelajar jurusan kejuruteraan elektrik dan elektronik, Nur Batrisyia Mohd Hasnizumaidi, 23, berkata dia terpaksa bekerja sambilan demi menanggung yuran pengajiannya.
"Selepas ayah meninggal tahun lalu, kewangan keluarga tidak berapa baik, saya pun tidak boleh nak fokus sangat semasa belajar sebab memikirkan orang di rumah," katanya yang bekerja sambilan di gudang syarikat jualan dalam talian.
Anak sulung kepada enam adik-beradik itu berkata, yuran pengajiannya ditanggung sepenuhnya hasil pendapatan kerja sambilan ketika cuti.
"Ketika kesempitan, saya pernah mencatu makan dengan menyimpan sebahagian makanan tengah hari untuk dimakan pada waktu malam," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |