|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA LUMPUR: Pensyarah dan penyanyi, Dr Syamsul Hirdy Muhid atau lebih dikenali sebagai Diddy Hirdy, 39, terharu apabila dipilih menerima Anugerah Penjawat Cemerlang daripada Universiti Utara Malaysia (UUM).
Diddy yang juga Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) di Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), menerima anugerah berkenaan di atas sumbangannya dalam bidang akademik dan pentadbiran.
"Saya memegang tanggungjawab ini selama lebih setahun. Alhamdulillah hasil usaha dan sumbangan saya di UUM diberi penghargaan.
"Bukan sekadar pengiktirafan terhadap usaha saya, tetapi anugerah ini juga menjadi motivasi untuk saya terus memberikan yang lebih baik sebagai penjawat awam di institut pengajian tinggi awam (IPTA).
"Anugerah ini saya anggap sebagai suatu amanah besar untuk terus berbakti dan menyumbang khususnya untuk pembangunan modal insaniah negara," katanya kepada BH Online.
Diddy berterima kasih kepada Dekan SCIMPA Prof Madya Ts Dr Adzrool Idzwan Ismail dan semua warga akademik dan pentadbiran SCIMPA.
Diddy yang mula dikenali menerusi musim keempat program realiti Akademi Fantasia (AF4) seronok melihat semakin ramai artis mempunyai kesedaran untuk menyambung pelajaran.
"Pada akhir 2000 boleh dibilang dengan jari artis yang berminat menyambung pengajian pada peringkat tertinggi dan seterusnya menyertai dunia akademik secara serius.
"Tetapi aliran itu kian berubah. Ini suatu perkembangan yang baik apabila ramai penggiat seni mula berminat untuk sambung belajar.
"Saya berharap pihak yang sudah mulakan, teruskan sehingga ke peringkat yang tertinggi kerana artis mudah menjadi 'role model' terutama kepada golongan muda," katanya lagi.
Ditanya apakah rindu dan masih menerima tawaran menyanyi, Diddy mengakui sangat rindu untuk beraksi di pentas.
Bidang nyanyian adalah cinta pertama, biarpun sibuk dengan tugas sebagai pensyarah, sesekali Diddy masih menerima undangan membuat persembahan.
"Saya rindu beraksi di pentas besar. Tetapi, bertugas sebagai pensyarah memerlukan lebih masa di pejabat.
"Apatah lagi menjadi penjawat utama, ditambah dengan karier akademik yang sangat mencabar dan bertugas tidak mengira masa.
"Namun, saya masih terima tawaran persembahan jika sesuai, namun, hanya pada waktu cuti," katanya.
Diddy juga sedia menimbang andai ditawar menyertai prorgram Gegar Vaganza (GV).
"Pentas GV memberi peluang untuk saya berkarya dan memberi impak baik dalam aspek akademik.
"Jadi, saya akan pertimbangkan dengan serius jika ada tawaran untuk sertai program seperti GV. Asalkan sesuai dengan komitmen dan prinsip saya sekarang," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |