Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
Title :Tekad dan harapan Naib Canselor baharu UKM
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :10 Jun 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
BANGI: Naib Canselor baharu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sufian Jusoh komited dalam memacu universiti itu sebagai satu institusi yang berteraskan identiti nasional, menjadi pemangkin kepada perpaduan nasional serta diiktiraf oleh masyarakat global. Beliau berkata, ia selari dengan semangat perjuangan penubuhan universiti berkenaan pada 1970, yang memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu. Selain itu, beliau turut berhasrat untuk membawa UKM kembali fokus kepada bidang ilmu sains dan teknologi seperti digariskan oleh Perintah (Perbadanan) UKM 1971. "Perintah tersebut menyebut fokus UKM ialah kepada ilmu, penyelidikan, pengumpulan dan kemajuan pengetahuan dan penyebaran pengetahuan dalam bidang sains dan teknologi seperti Sains Jati, Sains Gunaan. "Selain itu, Sains Perubatan, Sains Farmasi, Sains Kejuruteraan, Teknologi serta Sains Kemasyarakatan, Bidang Kemanusiaan, Pendidikan, Undang-Undang Islam dan Teknologi Perbandingan, Ilmu Akaun dan Kewartawanan. "Justeru, UKM akan diangkat sebagai sebuah universiti penyelidikan tersohor di dunia dengan fokus kepada rantau ASEAN yang terdapat beberapa negara serumpun Nusantara yang bahasanya bertunjangkan Bahasa Melayu," katanya ketika berucap selepas Majlis Serah Terima Tugas di UKM, di sini, semalam. Majlis itu disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak. Sufian berkata UKM perlu menangani tiga cabaran utama iaitu iaitu kebolehpasaran graduan, kelestarian kewangan dan peranan universiti sebagai pemangkin pembangunan negara. Beliau juga berharap supaya UKM mempunyai sistem tatakelola yang mantap, berintegriti tinggi, terbuka dalam berkongsi pandangan setiap warga universiti. Selain itu, beliau turut menggariskan lima keutamaan bagi UKM iaitu pertama UKM lebih inovatif dalam menerapkan pengajaran, penyelidikan serta inovasi dalam pelbagai disiplin, di mana sains merangkumi sains semula jadi, subjek teknikal dan sains sosial. "Kedua, warga UKM bekerjasama rapat antara satu sama lain, melalui hubungan teknologi dan kepakaran yang lebih rapat. "Ketiga, UKM berkolaborasi rapat dengan industri untuk menentukan keperluan pengajaran dan latihan serta membiayai penyelidikan. Kerjasama dengan industri bagi mengenal pasti keperluan industri, membangunkan bakat dan kemahiran perlu dieratkan. "Lebih penting lagi, penyedia pendidikan dan latihan perlu menghasilkan bakat yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dalam industri dan teknologi dan ini adalah satu bidang di mana industri mesti bekerjasama dengan sektor awam," katanya. Sufian berkata keutamaan keempat UKM adalah melaksanakan Indikator Prestasi Utama yang fleksibel dan pelbagai yang memenuhi keperluan jabatan masing-masing, di mana pengumpulan dana dan bilangan pelajar tidak semestinya menjadi indikator utama. Kelima pula katanya, UKM mengadakan institut penyelidikan rentas disiplin dalam sains dan teknologi serta sains sosial sebagai jalan ke depan dalam penyelidikan. Susulan itu, beliau meminta kepada semua warga UKM untuk bersama mengorak langkah sebagai satu pasukan yang bersatu padu dengan satu hasrat iaitu untuk menyumbang kepada UKM yang ditubuhkan dengan cita-cita dan impian rakyat Malaysia dengan sumbangan dari pelbagai pelusuk masyarakat. Sufian dilantik sebagai Naib Canselor baharu UKM yang ke-14 berkuat kuasa 5 Jun lalu bagi menggantikan Prof Datuk Dr Mohd Ekwan Toriman yang meletak jawatan.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035