|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| PANDANGAN keluar universiti terus dapat kerja mungkin tidak sesuai lagi hari ini, namun ia tidak bermaksud institut pengajian tinggi tidak lagi relevan, sebaliknya graduan perlu bijak memilih pengajian bersesuaian selain aktif mempertingkatkan kemahiran diri.
Pada masa sama, tidak semua bidang pengajian perlu diukur atas faktor pekerjaan semata-mata, kerana ada pengajian yang sangat penting, misalnya mengenai ketamadunan, kenegaraan dan falsafah tetapi kurang permintaan.
Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Ir Dr Mohd Zamri Ibrahim, berkata secara umumnya, universiti perlu mengambil kira program yang ditawarkan bersesuaian dengan permintaan pasaran kerja.
Bagaimanapun katanya, pada masa sama universiti juga berperanan dalam menyampaikan ilmu yang bersifat fundamental dan jangka panjang.
"Bidang kritikal seperti pengajian Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dan keusahawanan semakin menjadi keutamaan berdasarkan keperluan industri.
"Namun, tidak semua ilmu harus diukur berdasarkan faktor pekerjaan semata-mata," katanya.
Berkongsi pengalaman UMT, katanya kursus yang ditawarkan di universiti itu berorientasikan industri seperti sains marin, teknologi perikanan, dan akuakultur.
Semua pengajian ini katanya, mempunyai potensi besar dalam pasaran kerja disebabkan Malaysia sedang memberi tumpuan kepada ekonomi maritim dan perikanan moden.
Oleh itu katanya, penawaran kursus haruslah berasaskan gabungan ilmu teori dan keperluan industri selain fleksibiliti untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai bidang.
Pada masa sama katanya, universiti juga perlu memikirkan untuk meningkatkan program dan latihan industri yang memberi pelajar pengalaman kerja sebelum tamat pengajian sekali gus memudahkan mereka mendapatkan pekerjaan.
"Selain itu, program latihan kemahiran jangka pendek juga boleh dibuat selain universiti boleh menjalinkan kolaborasi lebih erat dengan industri,' katanya.
Mohd Zamri berkata, jika sesuatu program tidak lagi relevan atau kadar kebolehpasaran graduannya rendah, ia wajar disemak semula, ditambah baik, atau dimansuhkan.
Namun katanya, tidak semua bidang pengajian memerlukan pendekatan yang sama, misalnya ada bidang yang penting tetapi kurang permintaan seperti sains tulen dan pengajian falsafah.
Kongsinya lagi, antara cabaran utama dihadapi universiti adalah menyesuaikan program pengajian dengan kehendak pasaran kerja dan ia termasuklah perubahan teknologi yang pesat.
"Universiti sukar untuk menyesuaikan silibus dengan pantas kerana proses akademik memerlukan kelulusan banyak pihak.
"Selain itu, ketidaksepadanan antara permintaan pasaran dan kehendak pelajar kerana tidak
semua mahu menceburi bidang yang mempunyai permintaan tinggi seperti STEM atau kejuruteraan.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Arham Abdullah, universiti itu mengutamakan kerjasama erat dengan industri melalui program latihan industri dan projek kerjasama yang yang memberikan pelajar pengalaman praktikal sesuai keperluan majikan.
Berkongsi pengalaman UMK, Arham berkata, dakwaan ramai graduan tidak mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian boleh jadi tidak tepat, kerana mendapatkan 'pekerjaan' itu merangkumi banyak aspek, termasuk penguasaan bidang keusahawanan yang menjadi nilai tambah utama di universiti ini,.
Justeru katanya, banyak universiti turut menekankan nilai keusahawanan, misalnya menggalakkan pelajar menjadi usahawan sekali gus mencipta peluang pekerjaan sendiri.
Hal ini perlu seiring dengan kursus-kursus tambahan berkaitan komunikasi, bahasa ketiga selain pengurusan masa dan penyelesaian masalah.
Katanya, semua ini adalah persiapan yang dibuat universiti bagi memastikan graduan tidak hanya mahir dalam bidang mereka, tetapi juga sedia menghadapi cabaran pasaran kerja yang sentiasa berubah.
Arham berkata, universiti juga berhadapan dengan pandangan orang awam yang berpendapat program akademik tertentu perlu dimansuhkan kerana didakwa tidak relevan.
"Pemansuhan program akademik tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana walaupun penyesuaian program atau kursus dengan industri adalah sangat penting, namun ilmu yang mendalam dan asas dalam pelbagai bidang tetap memberi nilai jangka panjang kepada pelajar," katanya.
Tambahnya, hampir semua universiti awam berhadapan cabaran yang sama dan berterusan iaitu keperluan menyesuaikan program pengajian dengan kehendak pasaran kerja.
Bagaimanapun setiap universiti perlu mengatasinya dengan baik menerusi pelbagai kaedah antaranya penyelarasan kurikulum dilakukan secara berkala dengan input daripada industri bagi memastikan pelajar diajar kemahiran yang relevan dan terkini. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |