|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA LUMPUR: Usaha serentak 22 kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam kempen derma darah bukan sekadar acara kebajikan, tetapi permulaan kepada revolusi pendermaan darah di institusi pengajian tinggi secara lebih berstruktur, berterusan dan menyeluruh di seluruh negara.
Penolong Naib Canselor (Komunikasi Strategik) UiTM, Prof Dr Ismie Roha Mohamed Jais, berkata kempen ini wajar dilakukan memandangkan negara memerlukan kira-kira 2,200 beg darah setiap hari.
"Kempen dilaksanakan sempena Hari Penderma Darah Sedunia yang disambut pada 14 Jun setiap tahun itu dapat menyemai budaya kesukarelawanan, keprihatinan sosial dan semangat empati dalam kalangan mahasiswa serta seluruh warga universiti.
"Program ini mendapat kerjasama pelbagai pihak seperti hospital awam dan swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta sukarelawan universiti dan penduduk sekitar, menjadikan penganjurannya lebih bermakna dan inklusif," katanya pada majlis penutupan UiTM HEARTBEAT di Dewan Mawar Qaseh, UiTM Shah Alam, semalam.
Turut hadir, Pengarah Pusat Kesihatan UiTM, Dr Shairul'azam Sahar dan Pengarah Program Kempen Derma Darah, Anna Kartini Ahmad Lotfi.
Ismie Roha berkata, sambutan luar biasa diterima membuktikan program ini berjaya mencapai matlamat dalam menyokong sistem kesihatan negara, sekali gus membina generasi mahasiswa lebih cakna serta berjiwa sukarelawan.
Katanya, usaha ini sejajar aspirasi universiti untuk melahirkan pelajar berjiwa besar yang prihatin terhadap masyarakat, selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 3) yang menekankan aspek kesihatan dan kesejahteraan.
"UiTM akan terus komited memperkasa aktiviti berasaskan komuniti bagi memastikan warga universiti memberi sumbangan kepada masyarakat dengan penuh tanggungjawab dan keprihatinan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Mohammad Masrin Md Zahrin, berkata inisiatif dilakukan UiTM ini sangat membanggakan dalam usaha memastikan bekalan darah negara kekal mencukupi, selamat dan berkualiti untuk keperluan pesakit di hospital seluruh negara.
"Darah diperlukan setiap masa, bukan bermusim. Memandangkan negara mengalami krisis bekalan darah, kempen ini boleh dijadikan contoh oleh institusi lain untuk membina budaya pendermaan darah yang konsisten," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |