|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengecam keras tindakan seorang kakitangannya yang dipercayai membuat hantaran berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di media sosial.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib, berkata selain mempersendakan institusi diraja, individu terbabit difahamkan menggunakan kata-kata kesat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mempertikaikan pelantikan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dengan dakwaan tidak berasas, bersifat fitnah dan berunsur politik.
"Pihak UiTM dimaklumkan individu terbabit kini sedang disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). UiTM menegaskan bahawa pihak universiti tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk pelanggaran prinsip hormat-menghormati, khususnya membabitkan institusi diraja, agama, bangsa dan kepimpinan negara.
"UiTM memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk memastikan siasatan dijalankan secara telus dan berlandaskan undang-undang.
"Kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak PDRM untuk mengambil tindakan sewajarnya. UiTM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pelanggaran etika, disiplin dan perundangan dalam kalangan warga kampus," katanya hari ini.
Shahrin juga mengingatkan semua warga UiTM agar sentiasa bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial, mematuhi undang-undang negara serta memelihara keharmonian masyarakat dan imej institusi.
"Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam yang berteraskan nilai integriti, profesionalisme dan patriotisme, UiTM bertekad mempertahankan maruah universiti serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana tindakan yang mencemarkan nama baik institusi, institusi diraja mahupun negara," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |