Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :SALEHUDIN MAT RASAD
Title :Projek perintis Pangsapuri Pahangku di Bentong
Faculty :Kosmo
Year of Publication :11 Ogos 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
BENTONG – Bentong menjadi lokasi pertama di Pahang yang dipilih untuk pembinaan projek perintis Pangsapuri Pahangku, sekali gus membuka peluang anak muda memiliki rumah idaman di kawasan strategik berhampiran jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek berkeluasan 6.5 ekar itu akan didirikan bersebelahan stesen ECRL Bentong, melibatkan empat blok pangsapuri dengan kira-kira 1,000 unit. “Bentong paling strategik, dekat Kuala Lumpur, Kuantan dan bandar utama lain. Anak-anak muda boleh ulang-alik bekerja atau belajar sambil memiliki rumah sendiri dengan harga mampu milik,” katanya selepas menyempurnakan majlis pecah tanah Pangsapuri Pahangku di tapak projek dekat Taman Awam Ujana, di sini hari ini. Menurutnya, Pahang menjadi negeri pertama membangunkan perumahan konsep Transit-Oriented Development (TOD) berdekatan stesen ECRL, yang bakal diperluas ke enam lokasi lain termasuk Temerloh, Maran, Paya Besar, Kota SAS, Kuantan Port City (KPC) dan Cherating. Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, jajaran ECRL di Pahang adalah yang terpanjang iaitu 224 kilometer, menjadikan kawasan sekitar stesen ECRL berpotensi besar sebagai pusat pertumbuhan baharu. Beliau memberitahu berdasarkan Jabatan Statistik Negara, 63 peratus penduduk Bentong adalah golongan muda sekali gus menjadikan projek itu tepat dengan keperluan demografi setempat. “Projek ini memberi harapan baharu kepada anak muda Pahang untuk memiliki kediaman selesa dan kondusif di lokasi strategik dan harga jualan masih dinilai tetapi dijamin pada kadar berpatutan agar tidak membebankan pembeli,” katanya. – KOSMO! ONLINE  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035