Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :FADILA AWALUDIN
Title :Mendaki tebing uji kekuatan mental, fizikal
Faculty :Kosmo
Year of Publication :10 Ogos 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
MESKIPUN berada di tebing gunung pada ketinggian hampir 1,000 meter (m) lelaki berusia 34 tahun itu tetap teguh dengan minatnya terhadap aktiviti mendaki tebing tanpa sedikit pun rasa gentar. Kongsi Amirul atau nama lengkapnya Mohd. Amirul Haqim Ahmad Shafiei, minat terhadap aktiviti itu muncul sejak terlibat dalam Kelab Rekreasi (Kresma) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor pada tahun 2013.  Sejak itu, aktiviti mendaki tebing sudah sebati dalam dirinya. Dia juga kini turut menyandang posisi sebagai Jurulatih Mendaki Tebing Bertauliah dari Southeast Asia Climbing Federation (SEACF). Berbicara tentang pengalamannya dalam aktiviti itu, kongsi Amirul, pendakian ke Gunung Semukut atau lebih dikenali sebagai Nenek Semukut di Pulau Tioman, Pahang benar-benar menguji kesabaran dan kekuatan fizikal serta mental.  Berbeza aktiviti denai kembara kerana individu boleh memikul pelbagai barangan keperluan seperti peralatan perkhemahan, makanan dan minuman tetapi mendaki tebing perlu meminimumkan beban demi keselamatan.    “Cabaran terbesar apabila saya cuba memanjat tebing tembok batu setinggi 703m yang memakan masa seharian untuk sampai ke puncak. Waktu itu kekuatan fizikal dan mental yang kuat sangat penting kerana perlu menghabiskan masa seharian memanjat dalam keadaan cuaca sejuk dan berangin. “Saya bersama beberapa pendaki bermalam di puncak dan keesokannya kami turun semula ke bawah dan agak mencabar juga kerana kekurangan bekalan makanan dan minuman,” cerita Amirul kepada CitaRasa tentang kejadian yang berlaku pada 2015 itu.    Meskipun memiliki pengalaman profesional, namun Amirul tetap memastikan mental dan fizikal berada dalam keadaan baik sebelum memulakan pendakian.  “Saya tidak berasa bimbang kerana sebagai seorang pemanjat tebing, saya telah dilatih untuk mengurus risiko dengan baik dan merancang ekspedisi dengan terperinci.  “Segala kemungkinan bahaya telah dijangka dan bersedia, jadi langkah kawalan sudah disusun agar bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku,” katanya.    Mendaki tebing bukan sahaja menguji kekuatan fizikal dan mental tetapi memberikan kepuasan adrenalin luar biasa terutama apabila berjaya menyempurnakan misi.  Anak Selangor itu menjadikan Gua Damai di Batu Caves sebagai lokasi kegemaran sejak dahulu yang dilakukan setiap hujung minggu dan kini aktiviti tersebut berubah menjadi kerjaya.  “Gua Damai di Batu Caves memang menjadi antara lokasi yang paling kerap saya lakukan aktiviti daki tebing dan boleh dikatakan tempat saya membesar.  “Ada juga tempat lain yang saya pergi seperti Dragon’s Horn, Taman Etnobotani Gua Musang (Kelantan), Paya Gunung Jerantut (Pahang), Gua Kelam (Perlis) dan Gua Lepak (Batu Caves),” katanya.  Kongsi Amirul lagi, keselamatan amat penting ketika ingin mula memanjat dan berada di tebing tinggi.  Disebabkan itu kerjasama dan komunikasi penting antara pendaki dan belayer (pengendali tali keselamatan).  “Aktiviti ini tidak boleh dibuat secara solo kerana memerlukan ‘buddy system’ iaitu minimum dua orang.    “Secara peribadi, saya suka lakukan aktiviti secara berkumpulan kerana lebih meriah dan dapat berkongsi pengalaman bersama kumpulan,” ujarnya.   
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035