Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :BERNAMA
Title :Tapak pelancaran roket: MOSTI lakukan kajian awal permohonan Sabah, Pahang
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :02 Julai 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
SERI ISKANDAR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang melaksanakan kajian awal kesesuaian terhadap permohonan Sabah dan Pahang bagi penyediaan lokasi di dua negeri itu sebagai tapak pelancaran roket. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, berkata kajian itu akan mengambil masa agak lama kerana memerlukan penelitian daripada pelbagai aspek. "Setakat ini ada dua negeri yang memang berminat dan telah pun mengemukakan permohonan mereka, iaitu Sabah dan Pahang. Sekarang kita dalam proses feasibility study (permohonan) mereka. "Dalam feasibility study itu ada pelbagai aspek yang kita perlu kaji. Jadi, (kajian) akan mengambil masa," katanya ditemui selepas program MOSTI Tech Talks siri kelima di Universiti Teknologi Petronas (UTP) kelmarin. Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI Ruziah Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI Datuk Dr Mohd Nor Azman Hassan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UTP Ir Mohamed Firouz Asnan serta Provos UTP Datuk Ir Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib. Chang berkata beliau berharap tapak pelancaran roket itu boleh dimulakan kerja pembinaan seawal 2026. " …sebenarnya permintaan untuk pelancaran satelit ini semakin tinggi dan sekarang tapak pelancaran yang ada di dunia ini tidak mencukupi. "Dulu mungkin kita hanya perlukan untuk komunikasi, televisyen, tetapi sekarang banyak sektor seperti kereta, smartwatch, telefon pintar memerlukan teknologi satelit untuk GPS (Sistem Penentu Kedudukan Global), komunikasi dan lain-lain," katanya. Pada 15 Februari tahun lalu, media melaporkan Malaysia sedang bersaing untuk memperjuangkan pembinaan tapak pelancaran roket yang pertama di Asia Tenggara. Chang dilaporkan berkata Malaysia memiliki kelebihan membina tapak pelancaran roket kerana tidak terletak pada garis gempa bumi, tidak mempunyai gunung berapi, mempunyai tahap teknologi yang tinggi dan mempunyai industri elektronik serta elektrik yang matang. Sementara itu, berkenaan program MOSTI Tech Talks, Chang berkata ia usaha MOSTI untuk bersama dengan pelajar universiti supaya mereka lebih memahami fungsi serta peranan kementerian itu. "Pada masa sama, supaya mereka (pelajar universiti) lebih tahu apa yang sedang berlaku, iaitu perkembangan dalam sains komuniti dan mungkin mereka berminat untuk menceburi dalam kerjaya sains dan teknologi," katanya. Chang berkata program itu bermula pada April lepas, melibatkan Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). – BERNAMA
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035