|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA LUMPUR: Sembilan mahasiswa Universiti Malaya (UM) dinobatkan sebagai pemenang dalam acara julung kali diadakan di Malaysia, iaitu Festival Idea Prasiswazah Digital (UM UG iFEST 2025).
Kesemua pemenang menerima anugerah dan berpeluang memenangi biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana di UM tertakluk kepada pencapaian purata nilai gred kumulatif (PNGK) akhir 3.50 dan ke atas.
Acara selama tiga hari bermula 24 Jun lalu, menerima lebih 2,600 Projek Tahun Akhir dari 14 fakulti dan 2 akademi di UM yang dinilai oleh 300 penilai industri bagi merebut hadiah wang tunai berjumlah RM22,500.
Festival itu menjadi platform unggul mempamerkan inovasi, penyelidikan dan bakat pelajar, merentas bidang sains dan teknologi, sains sosial dan sains kesihatan.
Johan bagi kategori sains sosial, Ezrie Ezmier Amiruddin, 23, berkata beliau menjalankan projek berkenaan undang-undang dalam industri kreatif di negara ini.
Mahasiswa Fakulti Undang-Undang itu berkata, beliau mendapat idea menjalankan kajian berkenaan akta filem, televisyen dan konsert selepas mendapati ramai artis dari luar negara sering berhadapan kekangan menjalankan konsert di Malaysia.
"Projek ini diharap membuka mata dan iktibar pihak berkenaan dalam industri kreatif ini," katanya selepas Majlis Perasmian UM UG iFEST 2025 di Dewan Tuanku Canselor UM di sini, baru-baru ini.
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.
Projek sisa kelapa sawit
Johan bagi kategori sains dan teknologi, Janting Anak Tingom, 23, berkata beliau menjalankan projek sisa kelapa sawit untuk dijadikan bahan dalam pembinaan jalan raya.
Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan itu berkata, idea menjalankan kajian itu selepas mendapati terdapat terlalu banyak sisa sawit dibuang begitu sahaja di ladang kelapa sawit.
"Saya berharap projek ini dapat diteruskan ke peringkat ujian untuk memastikan keberhasilannya," katanya.
Johan kategori sains kesihatan, Tang Jiun Yoong, 23, berkata beliau menjalankan projek berkenaan kepelbagaian ubat untuk penyakit demam denggi.
Mahasiswa Fakulti Farmasi itu berkata, beliau mendapat idea menjalankan kajian berkenaan selepas mendapati ubat sedia ada untuk penyakit itu terhad.
"Saya berharap kajian mendalam dapat dibuat bagi memastikan keberkesanannya, seterusnya ubat ini dapat dikomersialkan," katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk UMUGI Fest 2025, Profesor Dr Hasniza Zaman Huri, berkata UM UG iFEST 2025 adalah lambang universiti menghargai idea dan inovasi anak muda.
Beliau berkata, tema Unleashing Ideas, Igniting Change adalah seruan supaya pelajar bukan sekadar belajar, tetapi mencipta, mencabar dan menyumbang kerana ilmu perlu dikongsi dan dimanfaatkan masyarakat.
"Festival ini bukan hanya menampilkan hasil projek, tetapi turut menjadi platform pertemuan antara dunia akademik dan realiti industri dalam usaha merapatkan jurang antara teori dan amalan," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |