|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| SEREMBANG: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menyalurkan peruntukan sebanyak RM300,000 melalui dana fidyah bagi menjayakan program MAINS-Care Institut Pengajian Tinggi (IPT) iaitu tajaan makan tengah hari kepada pelajar asnaf dan golongan yang memerlukan.
Seramai 800 pelajar dari kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Rembau, Kuala Pilah dan Seremban telah dikenal pasti layak menerima tajaan makanan berkenaan bernilai RM15 seminggu, untuk tempoh 25 minggu.
Setiausaha MAINS, Zainal Said, berkata program MAINS-Care IPT ini adalah program rintis menggunakan dana fidyah dibayar masyarakat Islam di Negeri Sembilan dan disalurkan untuk manfaat pelajar asnaf serta golongan memerlukan.
Beliau berkata, MAINS amat memahami cabaran kos sara hidup dihadapi pelajar, khususnya mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah.
"Pembayaran dan agihan makanan ini akan disalurkan melalui aplikasi MAINSPay, dengan kerjasama MobilityOne sebagai agen pembayaran rasmi. Pelajar boleh membuat pembelian makanan siap masak daripada pengusaha kafeteria yang berdaftar," katanya ketika melancarkan MAINS-Care IPT UiTM Negeri Sembilan di UiTM Seremban 3, di sini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Wakaf dan Mal MAINS, Norazman Amat dan Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Prof Dr Yamin Yasin.
Zainal berkata, program berkenaan adalah kesinambungan kepada beberapa inisiatif sedia ada di bawah program MAINS-Care seperti MAINS-Care-RMT yang menyasarkan pelajar sekolah rendah asnaf melalui tajaan makanan berkhasiat.
"Selain itu, MAINS-Care-Tahfiz iaitu bantuan makanan kepada pelajar tahfiz terpilih di seluruh Negeri Sembilan.
"Semua inisiatif ini dibiayai sepenuhnya melalui dana fidyah, selari dengan Maqasid Syariah dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup golongan asnaf dan mustahik," katanya.
Beliau berkata, inisiatif kebajikan berkenaan adalah hasil kerjasama erat antara agensi itu dan UiTM Cawangan Negeri Sembilan.
Menurutnya, pihaknya yakin, melalui program berkenaan, pelajar bukan sahaja dapat menikmati kemudahan makanan secara lebih teratur, malah turut dibimbing ke arah kecemerlangan akademik dan sahsiah yang seimbang.
"MAINS sentiasa membuka ruang kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi seperti UiTM, dalam usaha menyantuni dan memperkasakan ummah.
"Terima kasih kepada semua pembayar fidyah yang melunaskan amanah mereka serta warga kerja UiTM yang telus membuat saringan data pelajar. Selain MobilityOne dan pengusaha kafeteria UiTM yang turut bersama menjayakan program ini," katanya.
Sementara itu, Dr Yamin dalam ucapannya, menyambut baik inisiatif dilaksanakan MAINS.
Beliau berkata, walaupun tidak membabitkan jumlah besar atau hanya empat atau lima kali makan tengah hari, ia sangat besar maknanya kepada pelajar UiTM Negeri Sembilan.
"Kepada penerima (pelajar) semua, ini adalah rezeki dan guna dengan sebaiknya, lebih penting sebagai graduan bukan sahaja untuk berjaya dalam akademik, tetapi bergelar insan berwibawa," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |