|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan dana tambahan RM1 juta bagi pelan intervensi jangka pendek untuk mengurangkan gangguan bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, mengumumkan tambahan dana itu ketika membuat tinjauan ke kampus UMS di sini, hari ini.
Katanya, peruntukan akan dilaksanakan melalui kerjasama antara Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Jabatan Air Negeri Sabah dan pihak UMS.
Antara pelaksanaan yang dirancang termasuk pembinaan saluran paip agihan khas bagi menyambungkan sumber air bawah tanah sedia ada di UMS.
Selain itu, katanya sebuah tangki air bawah tanah berkapasiti tambahan 0.13 juta liter juga akan dipasang bagi meningkatkan bekalan air.
"Kerja-kerja intervensi turut merangkumi pemasangan injap modulasi automatik untuk menstabilkan paras air dalam tangki servis UMS.
"Lebih 3,000 pelajar, khususnya yang mendiami Kolej Kediaman Tun Mustapha dan Kolej Kediaman Tun Fuad, dijangka mendapat manfaat secara langsung daripada pelaksanaan ini memandangkan mereka sering terkesan dengan gangguan bekalan air," katanya selepas tinjauan itu, hari ini.
Turut hadir dalam tinjaulawatan itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor.
Fadillah menjelaskan bagi memastikan tekanan air mencukupi ke kawasan kediaman pelajar, Jabatan Air Negeri Sabah juga akan memasang pam penggalak sebaris dari tangki servis di kedua-dua kolej kediaman menggunakan paip pintasan sedia ada dibina oleh UMS.
Kerja-kerja intervensi dijangka mengambil masa sebulan yang akan menambah baik operasi sistem bekalan air UMS keseluruhannya.
Pada Mei 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk menangani isu bekalan air di UMS, manakala Zambry menambah RM2 juta lagi pada tahun berikutnya.
Namun, ribuan pelajar masih berdepan masalah sama sehingga ada yang mengadakan demonstrasi sebagai tanda protes terhadap kerajaan.
Kerajaan Sabah sebelum ini memaklumkan gangguan itu berpunca daripada pembinaan loji rawatan dan struktur berkaitan yang sedang berjalan selain kerosakan serta kes kecurian air. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |