Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :-
Title :AI di universiti, antara manfaat dan etika
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :21 Julai 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KECERDASAN buatan (AI) seperti ChatGPT dalam ekosistem pendidikan tinggi memberi impak besar terhadap cara pelajar dan pensyarah menguruskan pembelajaran dan tugasan, namun pada masa sama menimbulkan persoalan berkaitan integriti akademik juga etika penggunaan. Sebagai alat bantu belajar, ChatGPT banyak digunakan dalam penjanaan esei, penulisan kreatif, penyelidikan dan analisis data. Bagaimanapun, kebimbangan terhadap penyalahgunaan teknologi ini turut meningkat, terutama apabila sesetengah pelajar menyiapkan tugasan secara automatik tanpa memahami kandungan yang dihasilkan. Kebergantungan penuh terhadap AI juga menyukarkan pengesanan penipuan akademik secara konvensional. Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad, berkata AI generatif boleh menghasilkan tugasan yang sebelumnya memerlukan usaha manusia, dan ini mewujudkan fenomena baharu dikenali sebagai "AIgiarisme" iaitu plagiat menggunakan AI. Beliau berkata, situasi ini kian menjadi kebiasaan sejak 2022 dan ramai pelajar menyalah anggap penggunaan AI sebagai sesuatu yang tidak salah kerana ia bukan teknologi terlarang. Namun, ia tetap dianggap tidak beretika apabila hasil tugasan bukan datang daripada pemikiran sendiri. Menurutnya, pensyarah kini menggunakan pelbagai alat seperti Turnitin, GPTZero, Winston AI dan Copyleaks AI Detector untuk mengesan tugasan yang dijana AI. Gaya bahasa, struktur penulisan dan keaslian isi turut dijadikan penanda aras dalam menilai hasil kerja pelajar. "Dalam penulisan akademik, menghormati hasil karya orang lain adalah asas. Maka, jika AI digunakan, sumber atau platform yang membantu perlu dinyatakan secara jelas. Ia tidak boleh dianggap sebagai hasil usaha peribadi semata-mata," katanya. Tambahnya, AI wajar dilihat sebagai alat bantu yang menyokong proses kognitif pelajar, bukan sebagai pengganti sepenuhnya kepada pemikiran kritikal. Jika digunakan tanpa panduan etika, pelajar boleh mengalami kebergantungan melampau dan akhirnya menjejaskan keupayaan berfikir. Beliau turut menyatakan bahawa Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sudah mengeluarkan Notis Nasihat berkaitan penggunaan AI pada tahun 2023, dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2024 sudah memperkenalkan garis panduan lengkap yang menekankan penggunaan AI secara bertanggungjawab, telus dan sah. Justeru, beliau menggesa semua institusi pengajian tinggi membangunkan garis panduan AI generatif yang selari dengan undang-undang nasional. Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil pula menyifatkan peningkatan penggunaan AI dalam kalangan pelajar sebagai isyarat jelas bahawa pendidikan tinggi sedang mengalami transformasi besar. Beliau berkata, AI bukan sekadar alat bantu masa depan, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada ekosistem pendidikan kini. Oleh itu, institut pengajian tinggi (IPT) perlu bersedia dengan pendekatan baharu dalam penilaian akademik. Menurut Siraj, penggunaan AI secara bertanggungjawab perlu dibentuk melalui pendidikan dan bimbingan yang jelas, bukan sekadar larangan atau hukuman. Pensyarah juga perlu diberi latihan mengenai cara menggunakan AI dalam penyelidikan dan penulisan, termasuk menyatakan penggunaannya secara terbuka dalam metodologi atau rujukan. Katanya, dasar nasional penggunaan AI di IPT boleh digubal oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) untuk memastikan keseimbangan antara inovasi dan integriti. "Mahasiswa perlu faham bahawa AI ialah alat bantu, bukan pengganti akal. Menggunakannya untuk memahami konsep boleh diterima, tetapi menjana keseluruhan tugasan tanpa pemahaman adalah bertentangan dengan semangat pendidikan," katanya. Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam sesi 2024/2025, Muhammad Haziq Sabri mengakui penggunaan ChatGPT menjadi kebiasaan dalam kalangan pelajar, termasuk untuk membantu menjana nota, menyemak tatabahasa dan struktur ayat. Beliau berkata, pelajar yang bertanggungjawab masih menggunakan AI sebagai alat sokongan dan bukan jalan pintas. Tambahnya, UiTM sudah mengeluarkan Pekeliling Akademik Bil.5 Tahun 2023 yang menekankan penggunaan AI secara etika dan bukan sekadar menyalin jawapan. Bagi pelajar Sarjana Penyelidikan Bioteknologi Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Muhammad Asyraf Daniyal Abdul Halid, penggunaan AI hanyalah sebagai panduan, manakala kandungan tugasan sebenar dihasilkan menerusi carian dan rujukan yang sah. Katanya, tahap kesedaran dan literasi AI masih berbeza-beza dalam kalangan pelajar, justeru usaha meningkatkan pemahaman serta etika penggunaan perlu diteruskan. Dengan AI menjadi sebahagian daripada landskap pendidikan tinggi, keperluan terhadap garis panduan, pendidikan literasi teknologi dan pemupukan budaya akademik yang beretika kini semakin mendesak bagi memastikan teknologi ini dimanfaatkan secara berhemah dan bertanggungjawab. BERNAMA
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035