|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA LUMPUR: Jabatan Audit Negara mendedahkan tiga daripada keseluruhan tujuh tender perolehan berjumlah RM66.64 juta yang diperoleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2/2025 mendapati, Jawatankuasa Perolehan Tender memilih syarikat yang tidak disyorkan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Jawatankuasa Penilaian Kewangan dan Jawatankuasa Pra Tender.
Katanya, tindakan itu jelas menunjukkan terdapat ketidakaturan yang serius serta kelemahan dalam proses perolehan tender dan tatakelola membabitkan isu pembekalan, menghantar, memasang dan mentauliahguna sistem Linear Accelerator (LINAC) serta peralatan sokongan berserta kerja ubah suai di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM).
"Secara keseluruhannya, Jawatankuasa Perolehan Tender sudah meluluskan tender kepada Syarikat 0074062-D dengan nilai kontrak sebanyak RM22 juta berdasarkan syarikat yang lulus kriteria penilaian oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal dan Kewangan.
"Bagaimanapun, syarikat ini tidak disyorkan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal kerana peralatan yang baharu (LINAC) tidak memenuhi spesifikasi pengintegrasian dengan sistem sedia ada (ARIA).
"Pembekalan peralatan LINAC, CT-Simulator dan mesin Contrast Injector sepatutnya dibekalkan pada 18 September 2024. Bagaimanapun, sehingga Mesyuarat Penutup Pengauditan bertarikh 17 Januari 2025 didapati mesin LINAC masih belum dibekalkan. Tempoh kelewatan adalah 122 hari," katanya dalam laporan berkenaan.
Mengulas lanjut, LKAN mendapati Jawatankuasa Perolehan Tender meluluskan perolehan berkenaan kepada Syarikat 0726241-U meskipun ia didapati gagal dan tidak disyorkan oleh Jawatankuasa Penilaian Tender disebabkan penilaian prestasi kerja semasa bagi lima daripada tujuh projek didapati kurang memuaskan dan tidak disyorkan oleh Penyelia Projek.
"Satu daripada lima projek ini juga dikategorikan sebagai projek sakit. Justifikasi yang dibuat oleh Jawatankuasa Perolehan Tender yang memilih syarikat tidak disyorkan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal adalah tidak memuaskan.
"Kesannya, syarikat yang dipilih itu masih belum selesai melaksanakan kerja pengintegrasian sistem baharu dengan sedia ada sehingga menjejaskan perkhidmatan kepada pesakit," menurut laporan berkenaan.
Laporan itu menyatakan, keputusan Jawatankuasa Perolehan Tender itu perlu dibuat oleh semua ahli secara kolektif termasuk Jawatankuasa Pra Tender memperakukan syarikat yang gagal di peringkat Jawatankuasa Penilaian Tender bagi kerja menaik taraf dan penggantian 16 unit lif.
"Seiring dengan subseksyen 12(3) Perlembagaan UKM dan prinsip duty of care, Naib Canselor Universiti selaku Pengerusi Jawatankuasa Perolehan hendaklah bertanggungjawab untuk memastikan operasi universiti dan tatakelola perolehan adalah teratur.
"Untuk Jawatankuasa Perolehan Tender bagi ketiga-tiga tender berkenaan, UKM tidak melantik wakil Kementerian Kewangan (MOF) sebagai ahli Jawatankuasa manakala wakil Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah dilantik tetapi tidak hadir semasa mesyuarat Jawatankuasa Perolehan Tender bagi ketiga-tiga tender berkenaan.
"Justeru, laporan itu mendapati institusi pengajian tinggi berkenaan tidak mematuhi perenggan 3.1.4(c) Garis Panduan Perolehan Tender Kerja Besar kerana syarikat yang ditawarkan itu mempunyai prestasi kerja semasa yang dikategorikan sebagai projek sakit dan tidak layak dipertimbangkan untuk melaksanakan kerja menaik taraf.
"Ia juga mengenepikan syor oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Jawatankuasa Penilaian Kewangan dan Jawatankuasa Pra Tender sehingga menyebabkan tender pembekalan sistem LINAC dan peralatan sokongan, perkhidmatan sajian makanan, kerja menaik taraf dan penggantian 16 unit lif ditawarkan kepada syarikat yang tidak dapat membekalkan perkhidmatan dalam tempoh kontrak yang ditetapkan," katanya.
Berikutan itu, bagi memastikan tatakelola kewangan dipenuhi sepenuhnya, UKM disyorkan untuk menambahbaik Garis Panduan Perolehan UKM berkaitan proses penilaian dan pemilihan kontraktor bagi memastikan ianya selaras dan mengikut Pekeliling Perbendaharaan dan peraturan kewangan yang berkuat kuasa.
"Selain itu, UKM juga perlu membuat pemantauan rapi terhadap pembekalan peralatan LINAC dan penggantian lif bagi memastikan jadual kerja dipatuhi supaya perkhidmatan di HCTM tidak terjejas.
"UKM juga perlu mengambil tindakan tatatertib terhadap ahli jawatankuasa dan pegawai terbabit yang tidak mematuhi undang-undang, peraturan dan prosedur kewangan dalam pengurusan perolehan tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Siasatan Dalaman di peringkat KPT," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |