Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Wartawan BH
Title :Makmal MiNE UTeM cipta sejarah, pertama di Malaysia terima anugerah makmal bertauliah Cadence AS
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :29 Julai 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
AYER KEROH: Makmal Mikro dan Nano Elektronik (MiNE) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencipta sejarah apabila menjadi makmal pertama di negara ini yang menerima penganugerahan Makmal Bertauliah Cadence untuk Pensijilan Rekabentuk Litar Bersepadu (IC DESIGN) dengan Teknologi Virtuoso daripada Cadence Amerika Syarikat. Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pencapaian itu meletakkan universiti berkenaan pada kedudukan pertama dalam negara dan sekali gus terus menyerlah di pentas teknologi semasa berpermintaan tinggi dunia. Katanya, kejayaan itu juga mencerminkan UTeM sentiasa seiringan dengan kemajuan teknologi semasa dunia terutamanya dalam konteks teknologi Virtuso dalam penyediaan perisian dan perkakasan untuk mereka bentuk litar bersepadu (IC), `system on chip' (SOC) dan papan litar bercetak. "Virtuoso Cadence dianggap sebagai standard industri utama dunia untuk reka bentuk IC kerana keupayaan canggih dan ciri komprehensif dimilikinya yang mana pada masa sama ia memegang hampir 60 peratus pasaran untuk `custom layout' dalam mereka bentuk analog IC. "Perisian Virtuoso Cadence pula adalah salah satu perisian utama digunakan dalam industri reka bentuk litar bersepadu yang terus mendapat permintaan yang tinggi," katanya. Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian plak penganugerahan IC DESIGN daripada Cadence Amerika Syarikat yang disampaikan oleh wakil mereka, Pengurus Akaun Cadence Singapura, Esther Goh. Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Zahriladha Zakaria dan Timbalan Dekan (Akademik) FTKEK, Dr Sani Irwan Md Salim. Turut hadir adalah tiga Jurulatih Bertauliah Cadence UTeM iaitu Prof Madya Ts Dr Wong Yan Chiew; Prof Madya Ts Dr Faiz Arith dan Prof Madya Ir Dr Fauziyah Sallehuddin. Massila berkata IC DESIGN adalah peluang keemasan untuk pelajar UTeM yang mengikuti program ini kerana mereka akan dilengkapkan dengan pengetahuan dan kemahiran praktikal melalui modul latihan dan peperiksaan lencana (badge exams) yang diiktiraf oleh Cadence. "Ganjaran hebat buat mereka kerana ia menjadi tarikan utama dalam konteks menyuntik kebolehpasaran tinggi graduan serta memberikan kelebihan daya saing dalam pasaran kerja, khususnya dalam industri semikonduktor dan elektronik peringkat global," katanya. Massila berkata pengurusan dan pengendalian makmal MiNE, Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer (FTKEK) dikendalikan oleh tiga tenaga pakar yang telah berjaya ditauliahkan sebagai Jurulatih Bertauliah Cadence. Katanya, pencapaian berkenaan juga adalah selari dengan Pelan Strategik UTeM 2023-2025 pada teras 2 yang memfokuskan kepada menyediakan tenaga kerja tersedia industri. "Pada masa yang sama, ia turut mencapai Fokus 1 Penyediaan Bakat Terbaik Negara yang digariskan pada 7 Fokus Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2025 dan turut mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dunia menerusi SDG 4 yang menyentuh kepada Pendidikan Berkualiti.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035