Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Mohd Rafi Mamat
Title :919kg Musang King, D24 dirampas
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :31 Julai 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Impian seorang pekebun durian meraih hasil lumayan jualan Musang King dan D24 yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Gunung Benum, Raub tidak kesampaian apabila pacuan empat roda yang membawa 'Raja Buah' itu terlebih dahulu ditahan pihak berkuasa, semalam. Dalam rondaan selama empat jam sehingga tujuh pagi berakhir dengan kejayaan menahan kenderaan berkenaan bersama pemandu lelaki berusia 48 tahun yang membawa sebanyak 919 kilogram (kg) Musang King dan D24 bernilai kira-kira RM5,000. Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Zainuddin Jamaluddin, berkata durian gred C dan D itu dipercayai untuk pasaran tempatan dan siasatan mendapati pokok durian berkenaan berada dalam Kompartmen 91 Hutan Simpan Gunung Benum. Katanya, jabatan bertindak tegas dengan menyita kenderaan termasuk durian sebelum tindakan seterusnya dilakukan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh hutan simpan. Menurutnya, rondaan pihaknya dilakukan setiap hari sejak 21 Julai lalu selepas Operasi Bersepadu pencerobohan Hutan Simpan Gunung Benum dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Pasukan Gerakan Am (PGA), Rela serta Pejabat Daerah dan Tanah Raub dilancarkan. "Lelaki yang ditahan kemudian dibebaskan selepas mendapat jaminan polis selepas keterangan diambil. Pegawai penyiasat JPNP akan melakukan siasatan seterusnya sebelum tindakan undang-undang diambil kerana mengeluarkan hasil hutan (durian) tanpa kebenaran. "Hutan Simpan Gunung Benum menjadi kawasan tanaman durian termasuk pokok buah-buahan seperti manggis, rambutan serta petai dan kantan secara haram. Aktiviti pertanian itu dipercayai dilakukan penduduk setempat," katanya, di sini hari ini. Beliau menambah, pihaknya tidak akan berkompromi dengan individu yang terbabit dengan penerokaan Hutan Simpan Gunung Benum secara haram, mereka yang bersalah boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana menceroboh. Zainuddin berkata, lebih 40 kakitangan JPNP yang bergabung dengan agensi terbabit dalam operasi bersepadu kali ini menumpukan rondaan dan tindakan di Hutan Simpan Gunung Benum dilakukan secara berterusan selama 60 hari. Terdapat sembilan kawasan tumpuan yang menjadi lokasi aktiviti pertanian secara haram. Katanya, jabatan berharap mereka tinggal berhampiran hutan simpan di negeri ini supaya tidak memindah hasil hutan dan melakukan apa juga aktiviti dalam kawasan hutan terbabit bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang. "Anggota unit penguatkuasa pejabat hutan daerah sentiasa melakukan rondaan di kawasan panas dalam kawasan hutan simpan di negeri ini, selain melakukan aktiviti pertanian terdapat juga pihak yang beriadah. Untuk masuk ke dalam hutan simpan memerlukan permit atau kebenaran jabatan. "Kita menyediakan banyak papan tanda menyatakan kesalahan memasuki hutan simpan tanpa kebenaran, semua pihak perlu akur bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang," katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035