|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN: Program pembangunan pemain sepak takraw wanita yang kali pertama di negara ini dibangunkan Persatuan Sepak Takraw Negeri (PSTNP) sejak dua tahun lalu kini berjaya mengetengahkan enam pemain remaja Orang Asli.
Mereka terdiri daripada bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Betau, Lipis yang terpilih mengikuti program pembangunan sukan berkenaan dengan sokongan penuh daripada Majlis Sukan Pahang (MSP) yang menyediakan jurulatih separuh masa bagi melatih.
Presiden PSTNP, Datuk Abu Jimi Samat berkata, program pembangunan pemain sepak takraw wanita yang diusahakan kini mula membuahkan hasil apabila enam pemain terpilih mewakili Pahang ke peringkat kebangsaan.
Menurutnya, enam pemain berkenaan turut terpilih di bawah program atlet pelapis kebangsaan sepenuh masa (PSM-MARA) yang turut membabitkan 14 pemain lelaki dan wanita. Mereka bermain sambil belajar peringkat diploma di Kolej Poly-Tech MARA Kuantan dalam jurusan sains sukan.
"Saya difahamkan terdapat enam lagi pemain wanita di bawah program pembangunan sukan sepak takraw di SMK Betau yang akan terpilih mengikuti program pembangunan di peringkat negeri selepas mereka selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Selain berjaya dalam sukan kita juga ingin melihat mereka berjaya pendidikan, demi menjamin masa depan yang lebih terjamin," katanya, di sini hari ini.
Dia yang juga Naib Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berkata, pihaknya ingin menjadikan Pahang sebagai kilang melahirkan pemain sepak takraw wanita yang berkualiti seterusnya mewakili negara suatu hari nanti.
Dalam pada itu, Nur Adriena Firnaross Bah Saem berkata, dia merasa bertuah apabila terpilih mengikuti program pembangunan sepak takraw Pahang seterusnya sebagai atlet pelapis kebangsaan sepenuh masa (PSM-MARA).
Katanya, dia kini tersenarai pemain pasukan sepak takraw Pahang sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor. Semua pemain wanita terdiri daripada remaja Orang Asli yang sebelum ini belajar di SMK Betau.
"Saya berharap impian untuk mewakili Pahang di pentas kebangsaan menjadi kenyataan tahun depan, masa yang ada akan digunakan sepenuhnya untuk memperkemaskan permainan di posisi tekong.
"Saya dan pemain lain merasa bertuah apabila mendapat tunjuk ajar daripada bekas pemain sepak takraw negara, Iskandar Arshad yang memikul tugas sebagai ketua jurulatih Pahang," katanya yang bercita-cita untuk mewakili negara suatu hari nanti.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |