Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :BERNAMA
Title :Tengku Permaisuri Norashikin dimasyhur canselor pertama Universiti Islam Selangor
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :19 Julai 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
BANGI: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Islam Selangor (UIS) yang pertama. Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Canselor itu disempurnakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Istiadat Pemasyhuran dan Konvokesyen ke-27 UIS di Kajang, hari ini. Terdahulu, baginda berdua tiba di Dewan Sultan Idris Shah UIS pada jam 9 pagi diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Pada istiadat itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyerahkan watikah pelantikan Senator Datuk Salehuddin Saidin sebagai Pro Canselor I dan Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa sebagai Pro Canselor II. Sementara itu, Sultan Selangor dalam titah, mengingatkan pelajar tajaan kerajaan negeri dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) supaya mempelajari dan menguasai bahasa Arab di universiti Islam tempatan terlebih dahulu sebelum melanjutkan pengajian ke universiti di negara Asia Barat. Baginda menegaskan ,langkah itu penting bagi memastikan pelajar benar-benar bersedia dari segi kemahiran bahasa dan kefahaman asas sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di luar negara. Pada 10 Mei lalu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, memaklumkan kerajaan Selangor dan LZS tidak lagi meneruskan penajaan pengajian peringkat ijazah pertama ke Asia Barat mulai tahun ini, namun tajaan bagi pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah masih diteruskan. Sultan Sharafuddin menitahkan kerajaan negeri menumpukan penajaan kepada pelajar universiti Islam tempatan seperti UIS kerana universiti Islam di negara ini juga berkeupayaan menyediakan pendidikan berkualiti tinggi. "Beta menyedari terdapat pihak-pihak yang tidak setuju dan mengkritik ketetapan dan dasar baharu ini kerana masih ramai ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka menyambung pelajaran di universiti di Timur Tengah. "Namun demikian, Beta berpendapat bahawa dalam situasi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS, telah menyediakan banyak sekolah agama di Selangor yang mempunyai tahap pencapaian akademik yang baik di samping menghasilkan pelajar-pelajar cemerlang. "Maka adalah bersesuaian untuk kita manfaatkan pelajar-pelajar cemerlang ini untuk ditempatkan di UIS yang telah kita wujudkan sebagai Institusi bagi kesinambungan pembelajaran pelajar-pelajar cemerlang ini," titah baginda. Baginda turut berkenan memasyhurkan UIS secara rasmi berstatuskan universiti dan dikenali sebagai Universiti Islam Selangor serta menamakan pusat konvensyen universiti sebagai Dewan Sultan Idris Shah Universiti Islam Selangor. Pada istiadat itu juga, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan skrol kepada 50 graduan pascasiswazah dengan 31 ialah graduan ijazah doktor falsafah dan 19 lagi graduan ijazah sarjana. Seramai 1,528 graduan pelbagai peringkat pengajian akan menerima skrol pada istiadat yang berlangsung secara rasmi bermula hari ini hingga 21 Julai.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035