Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Amir Mamat
Title :Politeknik AI pertama negara bakal beroperasi 2027
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :03 Ogos 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
AYER KEROH: Sebuah politeknik baharu yang memfokuskan sepenuhnya kepada bidang kecerdasan buatan (AI) dijangka mula beroperasi seawal 2027, sekali gus menjadi institusi pengajian tinggi pertama seumpamanya di negara ini. Projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bakal dibina di Lumut, Perak itu sebagai usaha memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara. Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr Mohd Zahari Ismail, berkata politeknik berkenaan kini dalam fasa perancangan awal merangkumi penyediaan kurikulum, perjawatan pensyarah serta pembangunan infrastruktur berkaitan. Beliau berkata, beberapa program peringkat sijil dan diploma dalam bidang AI juga sedang dirangka yang akan mengambil masa kira-kira dua tahun sebelum institusi terbabit dapat beroperasi sepenuhnya. "Antara program yang bakal ditawarkan termasuk sijil dan diploma AI merangkumi kursus seperti Pengenalan kepada AI, Pembelajaran Mesin (Machine Learning), Python untuk AI, Analisis Data, Sistem Pintar serta Keselamatan Siber. "Program berkenaan turut memberi tumpuan kepada bidang strategik negara termasuk Internet Benda (IoT), Automasi Industri, Pengurusan Data Besar (Big Data) dan Rangkaian Digital, selaras keperluan Revolusi Industri 4.0," katanya. Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Konvensyen Kolej Komuniti Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini. Pada majlis itu, seramai 569 graduan dari enam Kolej Komuniti seluruh Melaka menerima sijil dan diploma masing-masing membabitkan 18 program pengajian. Mengulas lanjut, Mohd Zahari berkata, politeknik AI itu dijangka menjadi pusat rujukan utama kepada pelajar daripada pelbagai aliran, termasuk mekanikal, elektrik, elektronik, mekatronik dan sains komputer yang kini memainkan peranan penting dalam pembangunan ekosistem AI negara. Selain itu, katanya, kursus AI turut dirancang diperkenalkan secara silang bidang dalam program lain di semua politeknik dan kolej komuniti bermula tahun ini, sekali gus menjadikan AI sebagai komponen wajib dalam sistem pengajian TVET negara. "Pembangunan politeknik berkenaan menjadi antara langkah penting ke arah melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, sekali gus menyokong pertumbuhan sektor teknologi pintar, automotif, digital dan multimedia negara," katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035