Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Alzahrin Alias
Title :DNB, UPM bangun sandbox sistem udara tanpa pemandu 5G
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :04 Ogos 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
SERDANG: Digital Nasional Bhd (DNB) menjalin kerjasama strategik dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) membangunkan sandbox sistem udara tanpa pemandu berkuasa 5G pertama di Malaysia bagi operasi Beyond Visual Line of Sight (BVLOS). Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, kerjasama strategik itu menandakan langkah besar dalam mengintegrasikan teknologi 5G dan kecerdasan buatan (AI) untuk membolehkan sistem udara tanpa pemandu masa nyata dan mempercepatkan inovasi dalam sektor utama negara. Beliau berkata, ia juga seiring dengan hasrat kerajaan memupuk inovasi menyeluruh masyarakat serta mewujudkan platform praktikal bagi pelajar, penyelidik, syarikat pemula dan pengawal selia untuk menguji dan mengembangkan teknologi baharu. "Apa yang dahulunya kedengaran seperti fiksyen sains kini semakin hampir menjadi kenyataan. Dengan ekosistem yang betul, selamat, tersusun dan dikawal selia dengan baik, kita boleh mengubah sistem dan kenderaan udara tanpa pemandu daripada alat eksperimen kepada penyelesaian praktikal untuk manfaat awam," katanya. Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPM dan DNB di sini, hari ini. Mengulas mengenai MoU itu, Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Datuk Azman Ismail, berkata UPM akan membangunkan sandbox sistem udara tanpa pemandu dunia sebenar yang disokong oleh sambungan 5G dan keupayaan AI. Beliau berkata, inisiatif itu merangkumi empat zon khusus iaitu mobiliti udara bandar, pertanian, robotik autonomi dan penjagaan kesihatan yang direka untuk menyokong penyelidikan, ujian dan pelaksanaan komersial sistem AI dan blockchain. Menurutnya, kerjasama itu juga menyokong aspirasi Kementerian Digital untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam teknologi masa depan, selaras dengan persiapan negara menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN AI Malaysia 2025. Katanya, Sandbox AI UPM dijangka menjadi kajian kes dalam pelaksanaan AI dunia sebenar yang bertanggungjawab semasa sidang tersebut. "Kerjasama ini mencerminkan visi bersama kami untuk membina ekosistem digital yang berdaya tahan, memperkasa bakat tempatan dan memacu inovasi inklusif. "Dengan menggabungkan rangkaian 5G nasional dan kekuatan akademik UPM, kami sedang meletakkan asas bagi operasi sistem udara tanpa pemandu yang boleh diskalakan dan mampu mengubah pelbagai industri," katanya. Sementara itu, Naib Canselor UPM, Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, pula menyatakan bahawa kerjasama ini akan menjadikan UPM sebagai universiti pertama yang dilengkapi dengan infrastruktur rangkaian 5G secara langsung daripada DNB. "Kemudahan ini dijangka mempercepatkan pelaksanaan penyelidikan, pengkomersilan hasil inovasi serta pembangunan teknologi baharu dalam bidang kecerdasan buatan, Internet Kebendaan (IoT) dan sistem automasi khususnya dalam industri pertanian dan bioteknologi. "Ini sekali gus akan menyumbang kepada adopsi teknologi efisien dan inovasi lestari hasil penyelidikan yang boleh menyumbang kepada keterjaminan makanan negara yang merupakan mandat utama UPM," katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035