Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Latifah Arifin
Title :U Science UMS komited rapatkan jurang akses pendidikan STEM di pedalaman Sabah
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :07 Ogos 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KALABAKAN: Dalam usaha merapatkan jurang akses pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di kawasan luar bandar, Universiti Malaysia Sabah (UMS) 'turun padang' membawa pembelajaran sains terus ke sekolah di pedalaman Sabah. Dinamakan Program Bicara Kanta U‑Science, ia memberi penekanan kepada penguasaan pendidikan STEM dan menggalakkan pelajar berani mencuba, kreatif dan bersedia meneroka bidang baharu dalam teknologi serta inovasi. Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin, berkata program itu bukan hanya memberi pendedahan awal mengenai pendidikan STEM, bahkan membantu pelajar meningkatkan minat melalui aktiviti pembelajaran interaktif. Ia juga, katanya, bermatlamat membina kemahiran abad ke‑21, termasuk pemikiran kritis dan penyelesaian masalah. "Penganjuran program yang diselaraskan dengan Program Jiwa 3.0 dan Kembara Sains Borneo 2025 ini adalah satu inisiatif bersepadu bagi membawa pendidikan STEM yang menyeronokkan ke kawasan pedalaman Sabah. "Pada masa sama, ia platform untuk mengenal pasti potensi kerjaya masa depan yang selari dengan perkembangan teknologi dan industri moden," katanya dalam kenyataan. Beliau yang juga Pengarah U‑Science UMS berkata, program itu disertai 140 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kalabakan. Turut Guru Besar SK Kalabakan, Sophiaan Lahidu. Katanya, penganjuran program itu turut membuktikan komitmen U‑Science UMS dalam merapatkan jurang akses pendidikan STEM antara kawasan bandar dan luar bandar walaupun terpaksa menempuh perjalanan hampir dua jam untuk sampai ke Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Kalabakan yang menjadi lokasi acara. Sekolah itu terletak kira‑kira 47 kilometer dari Bandar Tawau. Beliau juga berkata, Bicara Kanta U‑Science turut menjadi bukti bahawa kolaborasi antara universiti, sekolah dan komuniti setempat mampu memupuk budaya celik sains di pedalaman, sekali gus melahirkan generasi muda Sabah yang bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0. Program Bicara Kanta U‑Science menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Ts Dr Ramzah Dambul sebagai panel utama.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035