Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Omar Ahmad
Title :5,578 titik akses WiFi dipasang di 63 politeknik dan kolej komuniti seluruh negara
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :14 Ogos 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
JOHOR BAHRU: Sebanyak 5,578 titik akses Wi-Fi baharu dipasang di 20 buah politeknik dan 43 kolej komuniti di seluruh negara, menerusi fasa kedua Projek Penambahbaikan Rangkaian Kesalinghubungan WiFi. Pemasangan WiFi fasa kedua membabitkan Zon Selatan ini merangkumi Politeknik Ibrahim Sultan, Kolej Komuniti Bandar Penawar, Kolej Komuniti Batu Pahat, Kolej Komuniti Kluang, Kolej Komuniti Kota Tinggi, Kolej Komuniti Pagoh, Kolej Komuniti Pasir Gudang, Kolej Komuniti Segamat dan Kolej Komuniti Tanjung Piai. Pengarah Bahagian Perancangan Program dan Institusi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), A Azman Arshad berkata, skop kerja bermula pada April lalu dan siap sepenuhnya menjelang awal bulan ini. "Projek ini adalah hasil kerjasama strategik antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan JPPKK mula dirancang sejak sesi perbincangan awal pada 27 Disember 2024 bersama Pasukan Petugas ICT (PPICT). "Tujuan utama projek ini adalah untuk memperluas dan menaik taraf infrastruktur WiFi di institusi pendidikan tinggi teknikal negara, iaitu politeknik dan kolej komuniti," katanya dalam Majlis Penyerahan Projek Pemasangan dan Penaiktarafan Rangkaian WiFi di bawah MCMC kepada JPPKK di Politeknik Ibrahim Sultan di sini hari ini. Menurut A Azman, pemasangan titik akses WiFi baharu dengan tema 'WiFi Cepat, Prestasi Hebat' di Politeknik Ibrahim Sultan, dilaksanakan di setiap 170 buah bilik pelajar di kolej kediaman, bilik rekreasi, surau dan kafeteria. Katanya, kemudahan ini dijangka akan memberikan impak besar kepada pengalaman pembelajaran dan kesejahteraan lebih 3,000 pelajar di sini. Sementara itu, pelajar Politeknik Ibrahim Sultan, K Logapriya, 21 yang mengambil Diploma Pengurusan Acara berkata, kemudahan itu memudahkannya menyiapkan tugasan termasuk mencari maklumat dengan lebih pantas dan laju. "Ia juga membantu saya menghadiri kelas secara dalam talian, sebab dalam seminggu terdapat subjek yang diajar dalam talian. "Sebelum ini saya guna data sendiri, tapi data agak terhad selain akses internet yang tersekat-sekat," katanya. Bagi Pelajar Semester tiga, Diploma Reka Bentuk Grafik, Nur Maiza Bisyri Nor Azami @ Nor Azmi, 22 berkata, kelajuan WiFi banyak membantunya melancarkan kerja dan menghantar tugasan secara atas talian. "Sebelum ini terdapat tugasan yang terlewat hantar sebab 'loading' lama kerana tidak cukup data. Saya terus beritahu pensyarah dan mereka faham keadaan kami. "Kelajuan Internet setakat ini bagus, tugasan sekarang memang memerlukan akses Internet yang laju untuk mencari maklumat dan membuat kajian berkaitan tugasan yang diberi,"katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035