Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Fahmy Azril Rosli
Title :5 universiti, Majlis AIDS bantu siswa dijangkiti HIV
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :17 Ogos 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA LUMPUR: Lima universiti awam (UA) menjalin kerjasama dengan Majlis AIDS Malaysia (MAM) untuk mengenal pasti dan membantu mahasiswa yang dijangkiti HIV/AIDS. Lima institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Naib Presiden MAM, Dr Nurafiqah Mohd Salleh, berkata kerjasama dijalin menerusi Kelab Kesihatan Anak Muda IPTA (KAMI) itu adalah usaha terkini dilaksanakan pihaknya di negara ini, khususnya di IPT untuk mengenal pasti dan membantu mahasiswa dijangkiti HIV/AIDS. KAMI digerakkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MAM dan Kementerian Kesihatan (KKM). Ia memberi perkhidmatan seperti ujian HIV, kaunseling dan sokongan kepada pelajar berisiko atau positif HIV dengan cara lebih mesra belia dan lebih interaktif. "Kita sudah mulakan inisiatif KAMI secara perlahan-lahan sejak awal tahun ini berserta modul dibangunkan bersama mahasiswa. Ia digembleng dan datang daripada belia sendiri, dibangunkan secara bersama dengan mahasiswa. "KAMI bukan sekadar mempromosikan gaya hidup sihat, tetapi juga memberi perkhidmatan seperti melakukan ujian HIV, kaunseling dan sokongan lain. Ia bukan sekadar siri ceramah," katanya kepada BH. Beliau menjelaskan, pelajar dalam kalangan rakan sebaya di universiti turut dilatih menerusi inisiatif berkenaan untuk membimbing dan memberi nasihat diperlukan kepada individu sasaran. "Mereka tahu dan boleh memberi nasihat di mana untuk melakukan ujian HIV dan sebagainya. Mereka boleh bercakap terus dengan rakan mereka. Kita tidak guna cara tradisional semata-mata kerana inisiatif ini bukan sekadar ceramah, tetapi melangkaui itu," tambahnya. Bulan lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni mendedahkan seramai 1,091 pelajar IPT di negara ini direkodkan menghidap HIV bagi tempoh 2020 hingga 2024, dengan 222 kes baharu direkodkan tahun lalu. Lebih membimbangkan, majoriti kes membabitkan remaja usia 18 dan 19 tahun, sekali gus menunjukkan pendedahan awal terhadap aktiviti berisiko seperti seks tanpa perlindungan, perkongsian jarum dan penyalahgunaan bahan terlarang. Tingkat langkah pencegahan Sementara itu, Dr Nurafiqah berkata, kefahaman anak muda mengenai penularan HIV/AIDS atau kaedah pencegahan seperti 'pre-exposure prophylaxis' (PrEP) perlu ditingkatkan, namun sebagai negara Islam, pendidikan agama tetap menjadi satu langkah pencegahan. "Jika ada anak muda terbabit dalam aktiviti seksual, mereka perlu diberikan pendidikan seksual yang menekankan langkah pencegahan seperti PrEP," katanya sambil menekankan masalah itu bukan khusus di khusus di universiti semata-mata. Sebaliknya, Dr Nurafiqah berkata, isu itu ditonjolkan seolah-olah universiti adalah pusat penularan kerana terdapat kes dikesan melalui saringan pelajar. "Sebenarnya, belia yang tidak melanjutkan pelajaran juga terdedah, malah tiada kaedah saringan standard untuk mereka. Universiti menjadi tumpuan kerana institusinya tersusun dan mempunyai kemudahan saringan. "IPT tidak semestinya menjadi sarang atau lubuk penyebaran HIV/AIDS. Jangkitan HIV boleh berlaku di mana-mana, bukan hanya dalam kalangan pelajar universiti. Namun, pendekatan universiti kini lebih pragmatik dalam pencegahan," katanya.   Mengenai keperluan mewajibkan ujian HIV di IPT, beliau berkata, MAM mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bahawa proses itu perlu dilakukan secara sukarela dan tidak sepatutnya dijadikan mandatori kepada pelajar. "Salah satu sebabnya ialah kita mahu individu terbabit dapatkan rawatan dengan rela hati, bukan paksaan kerana jika dipaksa, mereka mungkin mengelak menjalani ujian. Walaupun secara sukarela, IPT perlu sediakan platform memudahkan pelajar melakukan saringan, contohnya di Klinik Kesihatan Pelajar yang ada di setiap universiti. "Program ujian HIV perlu dibuat supaya pelajar boleh hadir secara sukarela tanpa rasa segan atau takut. Apa perlu ditekankan ialah aspek kerahsiaan keputusan ujian. Data pengurusan keputusan positif perlu diurus dengan betul. Kita perlu ada jaminan jika pelajar didapati positif, tidak dibuang universiti," katanya. Belia mendedahkan terdapat kes pelajar mengalami tekanan emosi kerana diberhentikan akibat status HIV mereka, sekali gus menunjukkan ada jurang dasar di universiti yang perlu dikemas kini supaya pelajar positif HIV tidak disisihkan.   "Ada pelajar yang diberhentikan enggan meneruskan pengajian di universiti itu, ramai tarik balik aduan mereka dibuang kerana tidak mahu meneruskan proses berkenaan. Selain itu, apabila ingin bawa kes ke peringkat lebih tinggi, seluruh sistem akan tahu status pelajar, jadi membuatkan mereka trauma dan akhirnya tarik balik laporan," katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035