|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| AYER KEROH: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus memperluaskan kerjasama strategik di peringkat global dengan terbaru membabitkan institusi pendidikan tinggi (IPT) dan industri terkenal di New Zealand (NZ).
Kerjasama itu terhasil menerusi lawatan kerja Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin ke negara berkenaan, baru-baru ini yang membabitkan University of Auckland dan Toi Ohomai Institue of Technology serta EV Maritime.
Turut serta dalam lawatan itu adalah Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kelestarian Global) UTeM, Profesor Madya Mohd Rahimi Yusoff dan Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global (UGLOBE) UTeM, Hazman Hasib.
Menurut Dr Massila, kerjasama dengan University of Auckland tertumpu kepada agenda penghantaran staf UTeM melanjutkan pengajian peringkat ijazah doktor falsafah (Phd) dalam bidang teknikal dan kejuruteraan
"UTeM dan University of Auckland yang berada pada kedudukan ke-65 dalam QS World Ranking, turut merancang pelaksanaan geran bersama dalam bidang tenaga selain persetujuan melaksanakan program pertukaran pelajar mobiliti.
"Kerjasama ini bukan saja memberi kesan ketara dalam aspek pembangunan akademik, penyelidikan dan mobiliti antarabangsa UTeM, malah turut merancakkan lagi hubungan erat yang sedia terjalin antara Malaysia dan New Zealand," katanya.
Dr Massila berkata kerjasama dengan Toi Ohomai membabitkan beberapa aspek,
antaranya pembukaan Pusat Pembelajaran UTeM merangkumi kawasan Oceania di samping penghantaran staf universiti berkenaan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD di UTeM.
Selain itu, katanya, pelaksanaan program ijazah sarjana muda berkembar dan ijazah sarjana bersama serta pelarasan program diploma antara kedua-dua universiti.
"Di samping itu, kerjasama ini turut membuka peluang untuk pertukaran akademik, pembangunan tenaga pakar dan penawaran program pengajian yang lebih kompetitif di peringkat antarabangsa," katanya.
Sempena kerjasama strategik itu, majlis menandatangani surat niat (LoI) antara UTeM dan Toi Ohomai turut diadakan di negara berkenaan, dengan UTeM diwakili Dr Massila manakala Toi Ohomai diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kieran Hewitson.
Mengenai kerjasama dengan EV Maritime, Dr Massila berkata ia berkisar kepada persetujuan untuk melaksanakan geran bersama dalam bidang bateri dan tenaga bagi teknologi kenderaan elektrik (EV).
Katanya, EV Maritime adalah syarikat ternama di Auckland yang berfokus kepada pembangunan EV dalam sektor maritim.
"Pada masa yang sama UTeM dan EV Maritime turut bersetuju untuk mewujudkan program pertukaran staf bertujuan untuk peningkatan kemahiran serta kepakaran dalam bidang ini.
"Dengan kerjasama strategik ini, secara tidak langsung akan melonjakkan nama UTeM sebagai universiti pertama di Malaysia yang mempelopori teknologi EV dalam sektor maritim," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |