|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| Dalam ekosistem pendidikan tinggi global yang semakin kompleks, universiti tidak lagi boleh bersifat eksklusif atau terasing daripada perkembangan antarabangsa.
Sebaliknya, ia harus menjadi pemacu utama jaringan ilmu, teknologi dan inovasi yang merentas sempadan negara.
Selaras dengan dasar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015–2025, yang menggariskan 10 Lonjakan utama, Lonjakan ke-8 iaitu Keunggulan Global menekankan pengantarabangsaan sebagai pemacu daya saing negara.
Pendekatan ini memastikan akses anak tempatan kekal terpelihara, sambil menarik pelajar antarabangsa berkualiti tinggi untuk memperkukuh reputasi universiti pada peringkat dunia.
Sebagai universiti teknikal di bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melaksanakan aspirasi ini melalui strategi pengantarabangsaan yang bersifat menyeluruh, khususnya dalam bidang kejuruteraan, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional di Malaysia (TVET) dan teknologi berimpak tinggi.
Aspirasi UniMAP adalah untuk muncul sebagai pakar rujuk serantau dalam TVET, sekali gus menyokong agenda Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia.
Kehadiran pelajar antarabangsa di UniMAP bukan sahaja memperkayakan suasana akademik, malah mendorong kolaborasi industri–akademia yang lebih luas.
Melalui perkongsian pengetahuan, mobiliti akademik, serta kerjasama teknikal dengan universiti dan industri luar negara, UniMAP membina ekosistem pembelajaran yang inklusif, relevan, berimpak dan berpaksikan realiti global.
1. Kepelbagaian global: Aset strategik dalam pendidikan teknikal
Pengantarabangsaan bukan sekadar trend, tetapi satu keperluan memastikan kelestarian pendidikan teknikal dalam dunia moden.
UniMAP mengiktiraf, kepelbagaian pelajar, tenaga akademik dan rakan industri antarabangsa akan memperkukuh keupayaan universiti melahirkan graduan berdaya saing, berfikiran global dan berakar pada identiti tempatan.
Sebagai universiti teknikal, UniMAP memberi keutamaan kepada pelajar tempatan, sementara pelajar antarabangsa diserap, namun yuran pengajian adalah hampir tiga kali ganda daripada pelajar tempatan. Ini memastikan keseimbangan antara akses pendidikan untuk rakyat Malaysia dan keterbukaan kepada komuniti global.
Di UniMAP, lebih 96 peratus pelajar adalah anak tempatan, manakala pelajar antarabangsa hanya sekitar 4 peratus daripada lebih 13,000 pelajar. Mereka mengikuti pengajian melalui permohonan antarabangsa dengan yuran penuh tiga kali lebih tinggi, berbanding pelajar tempatan. Justeru, tempat anak tempatan tetap menjadi keutamaan.
Unjuran pengambilan pelajar tempatan juga terus meningkat:
• 2024: 3,170 pelajar Ijazah Sarjana Muda dan 500 pelajar Diploma
• 2025: 3,400 pelajar Ijazah Sarjana Muda dan 1,000 pelajar Diploma
Ini membuktikan peluang anak tempatan bukan sahaja terpelihara, malah semakin bertambah dari tahun ke tahun.
2. Manfaat ekonomi dan daya tarikan penarafan
Kemasukan pelajar antarabangsa ke UniMAP bukan sahaja menyumbang kepada pendapatan universiti, malah merancakkan ekonomi setempat di Perlis, daripada perbelanjaan sewaan, makanan, pengangkutan hingga ke perkhidmatan sosial.
Dalam konteks pendidikan tinggi semakin kompetitif, sokongan ini memberi ruang kepada UniMAP untuk mengekalkan kualiti akademik serta memperkukuh kewangan secara mampan.
3. Jaringan industri bertaraf dunia
Satu daripada kekuatan UniMAP ialah hubungan rapatnya dengan industri utama teknologi terkini, baik pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Setakat ini, UniMAP mempunyai lebih 220 MoU/MoA serta lebih 1,000 projek penyelidikan bersama industri.
Melalui pengantarabangsaan, UniMAP memperluas rangkaian kolaborasi industri yang mampu menawarkan peluang latihan, penyelidikan bersama serta pemindahan teknologi. Ini dapat dilihat hasil kerjasama bersama industri ternama seperti Intel, Micron, B.Braun, Huawei, Fuji Electric, Altera, Nihon Superior, Qatar Airways dan pelbagai lagi.
Pelajar antarabangsa yang menimba ilmu di UniMAP akan bertindak sebagai duta kecil Malaysia di negara asal mereka, membuka laluan kepada kerjasama baharu dalam bidang kejuruteraan, TVET dan teknologi.
Dengan itu, UniMAP bukan sahaja menjadi pusat pendidikan, tetapi juga jambatan diplomasi akademik serantau.
4. Mobiliti merentas sempadan
Mobiliti antarabangsa adalah antara aspek terpenting dalam strategi pengantarabangsaan UniMAP. Setakat ini, program Credited Mobility – Inbound telah menerima 32 pelajar antarabangsa dari pelbagai institusi.
Antaranya, Institut Teknologi Sumatera (Indonesia), Université de Technologie de Compiègne (Perancis), Rajamangala University of Technology Srivijaya (Thailand), Gayatri Vidya Parishad College of Engineering (India), Universitas Syiah Kuala (Indonesia); Prince of Songkla University (Thailand), Maejo University (Thailand), Walailak University (Thailand), serta ENSI Caen (Perancis).
Selain itu, 11 pelajar UniMAP telah menyertai International Internship Programme, termasuk di Jepun dan Turkiye.
Bagi non-credited mobility, UniMAP aktif dalam pelbagai program seperti Artificial Intelligence (A3I) yang melibatkan universiti dari Jepun, Korea Selatan dan China, Asia Summer Program 2025; ATU-Net Summer School, Winter & Summer Camps bersama universiti dari China dan Thailand, CommTECH Camp (Indonesia), International Staff Mobility (ISM) serta menjadi tuan rumah 3rd International Student Leaders Meeting on Sustainability (ISLMS 2025).
5. Malaysia sebagai hab pendidikan teknikal serantau
Malaysia kini mengukuhkan reputasinya sebagai destinasi pendidikan tinggi berkualiti. UniMAP, melalui kepakaran teknikal dan kejuruteraan, memainkan peranan penting dalam menyokong agenda ini. Aspirasi UniMAP adalah untuk menjadi pusat rujukan ASEAN dan dunia dalam bidang TVET dan kejuruteraan teknikal, selaras keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi di rantau ini.
Kita turut kembangkan kepakaran kita di negara Eropah seperti Romania (Gheorghe Asachi Technical University of Iasi (TUIASI), Polish National Agency for Academic Exchange (Poland), Engin-X, ISIS Neutron and Muon Source, United Kingdom dan pelbagai lagi.
6. Pengalaman global kepada komuniti kampus
Pengantarabangsaan di UniMAP bukan sekadar angka pelajar antarabangsa, tetapi pengalaman hidup yang merentas budaya. Kehadiran mereka memperkayakan interaksi sosial, perbincangan akademik, dan gaya hidup kampus yang lebih dinamik.
Graduan UniMAP yang lahir daripada ekosistem ini lebih bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar, bukan sahaja sebagai jurutera, tetapi sebagai pemimpin industri, inovator dan duta Malaysia peringkat global.
7. Reputasi antarabangsa
Peningkatan jumlah pelajar antarabangsa di UniMAP yang kini adalah lebih 470 pelajar mencerminkan pengiktirafan global terhadap kualiti akademik dan penyelidikan universiti.
Dengan kekuatan dalam bidang kejuruteraan dan TVET, UniMAP komited menawarkan program pendidikan yang relevan dengan keperluan industri serantau dan global.
Pencapaian UniMAP dalam ranking THE, kerjasama penyelidikan, inovasi teknikal serta penglibatan dalam rangkaian universiti teknikal antarabangsa memperkukuh reputasi universiti dan negara di pentas global.
Janji UniMAP
Bagi UniMAP, pengantarabangsaan bukanlah sekadar memenuhi dasar global, tetapi strategi menyeluruh untuk membina masa depan pendidikan tinggi yang mampan, progresif dan berdaya tahan. Aspirasi menjadi pakar rujuk ASEAN dalam TVET dan teknikal adalah tanggungjawab yang dipikul dengan penuh komitmen.
Inilah janji UniMAP, membina graduan teknikal berwawasan global, melakar masa depan negara melalui ilmu, inovasi dan jaringan antarabangsa.
Naib Canselor, Universiti Malaysia Perlis
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |