|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA LUMPUR: Sebuah projek komuniti rentas negara berfokuskan latihan pengetahuan, kompetensi dan komunikasi berkaitan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) berjaya dilaksanakan di tiga buah sekolah di Jakarta, Indonesia oleh pensyarah dan pelajar dari Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM).
Program yang berlangsung dari 21 hingga 27 September 2025 ini diketuai oleh pensyarah Komunikasi Kelestarian, Prof Madya Dr Mohamad Saifudin Mohamad Saleh bersama 10 orang pelajar prasiswazah PPK.
Projek ini dijalankan dengan kerjasama erat bersama pensyarah dan pelajar dari Universitas Mercu Buana (UMB), Jakarta dengan matlamat untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran komunikasi pelajar sekolah mengenai SDGs.
Menurut Saifudin, program ini adalah usaha bersepadu pelbagai pihak untuk memastikan generasi muda mendapat pendedahan bermakna mengenai SDGs serta melatih mereka menjadi pemimpin pendapat yang aktif dalam mengkomunikasikan isu kelestarian melalui media sosial secara berkesan.
"Projek komuniti ini dibangunkan berasaskan modul komunikasi kelestarian yang merangkumi ceramah, sesi perbincangan interaktif serta permainan berkaitan SDGs.
"Ia bagi menarik minat dan memberikan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan kepada peserta selari dengan konsep didik hibur," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC) dan PPK USM atas sokongan melalui Dana Explore: Mobility Matching Fund (MOMAF) 2025, yang membolehkan projek komuniti ini dilaksanakan di Jakarta.
Ucapan terima kasih juga diberikan kepada rakan strategik, UMB serta Perodua Nasrom (M) Sdn Bhd, atas sumbangan dalam menjayakan inisiatif ini.
Sementara itu, wakil rektor 2 Bidang Sumberdaya UMB, Prof. Dr. Rizki Briandana, menyambut baik penganjuran projek ini dan menyifatkannya sebagai usaha positif dalam memperkukuh agenda pendidikan SDGs dalam kalangan pelajar sekolah di Jakarta.
"Hubungan baik antara UMB dan USM telah lama terjalin, dan kolaborasi sebegini amat penting bagi memastikan agenda kelestarian dapat diteruskan secara konsisten, daripada peringkat sekolah hingga ke universiti.
"Usaha ini mampu melahirkan generasi muda yang kritis, berdaya saing, dan peka terhadap cabaran global," katanya.
Selain itu, salah seorang fasilitator, Arhafiz Abd Rahman, pelajar tahun dua PPK USM, turut melahirkan rasa bangga kerana berpeluang menyertai projek komuniti ini yang memberi pengalaman pembelajaran baharu di luar Malaysia bersama rakan, pensyarah, dan komuniti setempat.
Menurut Arhafiz, ilmu yang dipelajari melalui kursus Komunikasi untuk Kelestarian dalam tahun dua pengajian akhirnya dapat dimanfaatkan menerusi projek komuniti bersama pelajar sekolah di Jakarta yang selari dengan fokus USM sebagai universiti lestari terkemuka di Malaysia dan dunia.
"Peluang ini amat berharga buat saya kerana melalui program ini saya dapat mengenali budaya unik di Indonesia, berinteraksi dengan komuniti di sana serta memahami cara mereka bertindak ke arah kelestarian", tambah Arhafiz.
Arhafiz dan rakan-rakan dari PPK USM berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi meyokong pencapaian agenda SDGs 2030. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |