Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :BERNAMA
Title :PM Pakistan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah UIAM
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :07 Oktober 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA LUMPUR: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) semalam menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif. Ia sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan cemerlang dan sumbangan beliau dalam pembinaan negara serta tadbir urus Islam global. Majlis penganugerahan itu berlangsung pada Istiadat Konvokesyen Khas di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC-UIAM), Kampus Kuala Lumpur, yang disempurnakan oleh Ketua Perlembagaan UIAM yang juga Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Kepimpinan dan Tadbir Urus itu disampaikan oleh Tunku Azizah sempena lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Pakistan ke Malaysia bermula kelmarin. Dalam Titah Diraja baginda, Tunku Azizah bertitah, Muhammad Shehbaz telah berkhidmat selama lebih empat dekad dengan visi, disiplin, belas kasihan serta kepimpinan sejati dalam usaha membina kehidupan dan juga memperkasakan masyarakat melalui pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang ekonomi. "Inisiatif beliau seperti Tabung Endowmen Pendidikan Punjab telah membuka pintu pengajian tinggi kepada ribuan pelajar yang mungkin tidak pernah bermimpi untuk menjejakkan kaki ke universiti. "Itulah contoh kepimpinan yang menyentuh hati dan mengubah masa depan. "Ketika dunia lebih mementingkan imej berbanding integriti, Tuan Yang Terutama (Muhammad Shehbaz) mengingatkan kita bahawa tadbir urus yang baik adalah berteraskan keikhlasan, khidmat dan keteguhan prinsip," titah baginda. Tunku Azizah turut memuji persahabatan yang terjalin lama antara Pakistan dengan Malaysia, sambil bertitah bahawa bawah kepimpinan Muhammad Shehbaz, hubungan antara kedua-dua negara semakin kukuh. "Hari ini, pelajar, ahli akademik dan alumni Pakistan terus memperkayakan universiti ini dan menegakkan misi bersama kita untuk berkhidmat kepada ummah. "Penganugerahan ini bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian tetapi juga meraikan nilai-nilai yang kita junjung tinggi seperti keadilan, perkhidmatan dan kecemerlangan berpandukan keimanan," titah baginda. Ketika ini, seramai 89 pelajar dari Pakistan sedang mengikuti pelbagai program di UIAM, manakala 321 alumni Pakistan telah menamatkan pengajian di universiti berkenaan. Sementara itu, Muhammad Shehbaz dalam ucapan penerimaannya pula menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai satu keistimewaan dan penghormatan besar yang diterima dengan penuh rendah diri di hadapan para sarjana dan pelajar daripada sebuah institusi Islam terkemuka dunia. Mengimbas perkhidmatan awamnya selama bertahun-tahun, beliau memaklumkan bahawa bagi dirinya, kepimpinan sentiasa berkisar kepada khidmat tulus kepada rakyat Pakistan dengan disiplin serta rasa tanggungjawab yang tidak berbelah bahagi. "Saya berharap kehadiran saya di sini, hari ini, akan mengukuhkan lagi jalinan kerjasama akademik antara UIAM dengan institusi pengajian tinggi terkemuka di Pakistan," katanya. Beliau sekali gus menekankan bahawa kepimpinan bukan satu keistimewaan tetapi amanah suci yang menuntut kejujuran, keadilan dan akauntabiliti. Menyentuh cabaran lebih besar yang dihadapi dunia Islam, Muhammad Shehbaz turut menyeru kepada perpaduan, belas kasihan dan integriti moral dalam kalangan pemimpin dan negara. Selain itu, beliau menggesa umat Islam supaya terus berpegang teguh kepada nilai dan etika Islam untuk mengatasi konflik, perpecahan serta kemiskinan. Beliau juga menegaskan Malaysia serta Pakistan dikurniakan generasi muda yang ramai, dan menjadi tanggungjawab pemimpin untuk menyediakan platform yang memperkasakan belia berkhidmat kepada manusia dengan komitmen dan belas kasihan. Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Presiden UIAM, Tan Sri Abdul Rashid Hussain; Rektor UIAM, Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar; serta Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Ahsan Raza Shah. Lawatan Muhammad Shehbaz ke Malaysia adalah atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan kunjungan balas kepada lawatan rasmi Anwar ke Pakistan pada Oktober 2024, sekali gus mencerminkan hubungan dua hala yang semakin kukuh.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035