|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) kesal dan memohon maaf atas insiden pengendalian anjing liar dalam kawasan kampus yang tular di media sosial, baru-baru ini.
UPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius isu berkaitan pengendalian anjing liar dalam kawasan kampus universiti berkenaan.
"UPM menzahirkan rasa kekesalan dan memohon maaf atas insiden pengendalian anjing liar yang dilaporkan berlaku pada penghujung tahun lalu.
"Universiti ini menghargai keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan haiwan dan menegaskan komitmen untuk memastikan setiap tindakan pengurusan haiwan liar dilaksanakan secara berhemah, beretika dan mematuhi peraturan semasa," katanya.
Menurutnya, UPM juga menghargai pandangan masyarakat mengenai tanggungjawab dan kepentingan menjaga keselamatan warga kampus.
"Bagi memastikan ketelusan dan keadilan, UPM menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) untuk menjalankan siasatan terperinci.
"UPM komited memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan dijalankan," katanya.
Sebagai tindakan awal bagi memelihara integriti siasatan pihak berkuasa, katanya, Pengarah Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PPKKP) dilepaskan daripada menjalankan tugas-tugas operasi PPKKP sehingga proses siasatan selesai.
"UPM juga menangguhkan semua aktiviti pengendalian haiwan liar dalam kampus sehingga satu prosedur operaso standard (SOP) baharu lebih menyeluruh dibangunkan.
"SOP ini akan menekankan keseimbangan antara keselamatan manusia, kebajikan haiwan dan pematuhan kepada Akta Kebajıkan Haiwan 2015," katanya.
Katanya, UPM juga akan mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dalam usaha membangunkan prosedur dan merangka pendekatan terbaik yang mampan.
"UPM sekali lagi ingin menzahirkan komitmen dalam menjunjung tinggi aspirasi kesihatan planet yang mengintegrasikan kebajikan dan keselamatan manusia, haiwan dan alam sekitar sebagai agenda utama universiti dan mengambil iktibar daripada peristiwa ini," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang wanita mendakwa universiti awam itu mengupah syarikat bagi melupus anjing di kawasan institusi pengajian tinggi berkenaan.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |