|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| SHAH ALAM: Kes jangkitan influenza membabitkan penuntut institut pengajian tinggi di seluruh negara masih terkawal, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ada menerima laporan mengenai beberapa kes pelajar dijangkiti wabak berkenaan, namun langkah kawalan dan rawatan telah dilaksanakan dengan segera.
"Saya difahamkan memang ada kes influenza dilaporkan berlaku di kampus, namun kesemuanya masih terkawal dan tidak membabitkan sebarang kes serius.
"Walaubagaimanapun, KPT tidak mengambil mudah terhadap perkara ini dan akan sentiasa memantau perkembangan penularan wabak berkenaan dari semasa ke semasa," katanya pada sidang media di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam hari ini.
Beliau berkata pihaknya sentiasa berhubung dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengambil maklum sebarang arahan atau hebahan mengenai penularan wabak itu.
Sebelum ini, KKM memaklumkan sebanyak 352 kes telah direkodkan di premis sekolah bersamaan 65.8 peratus diikuti tadika 96 kes (17.9 peratus) dan 35 kes (6.5 peratus) di IPT berdasarkan jumlah kumulatif Minggu Epidemologi (ME) 1/2025 hingga ME 41/2025.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dilaporkan berkata secara keseluruhan bilangan kluster jangkitan di IPT meningkat daripada lapan pada ME 39 kepada 111 kluster pada ME 40 sebelum mencecah angka 202 pada ME 41.
Namun, trend berkenaan dijangka mengalami penurunan selepas bilangan kluster pada ME 42 bermula 12 Oktober baru-baru ini hanya merekodkan 56 kluster.
Terdahulu, Mustapha merasmikan majlis penutup Festival Bahasa IPT 2025 di Anjung Seri Budiman, UiTM Shah Alam sempena Dekat Bahasa Kebangsaan Peringkat IPT 2025 yang turut dihadiri Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin. – BERNAMA |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |