Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :BERNAMA
Title :UMK latih 1,000 orang termasuk pelajar, staf kuasai teknologi AI
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :20 Oktober 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KOTA BHARU: Lebih 1,000 peserta termasuk pelajar, staf universiti dan profesional industri dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sudah dilatih untuk menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI). Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Arham Abdullah berkata universiti itu kini bergerak seiring dengan mengintegrasikan AI sebagai pemangkin utama untuk ia terus kekal relevan, dinamik dan kompetitif dalam dunia berteraskan teknologi. Beliau berkata sebagai sokongan dalam pelaksanaan teknologi AI, UMK telah melancarkan empat inisiatif strategik dalam memperkukuh ekosistem dan transformasi digital akademik universiti. "Inisiatif berkenaan membabitkan Academic Analytics Dashboard TNCAA merupakan platform pintar berasaskan data yang mengintegrasikan maklumat akademik UMK secara menyeluruh termasuk staf akademik, pentadbiran serta pelajar. "Inisiatif lain termasuk pengenalan platform Micro Credential 2.0 membabitkan pakej pembelajaran berasaskan bidang profesional, selain Modul Penasihat Akademik serta Modul Penyeliaan Pascasiswazah bagi memperkukuh kompetensi penyelia," katanya dalam kenyataan hari ini. Arham berkata melalui kesepaduan antara kebijaksanaan insan dan kepintaran mesin, UMK sedang meneroka horizon baharu pendidikan yang lebih inklusif, inovatif dan berdaya saing. Beliau berkata UMK tidak hanya menjadi pengguna pasif teknologi malah telah melangkah ke hadapan sebagai pemangkin perubahan melalui penubuhan Institute for Artificial Intelligence and Big Data. "Melalui institusi ini, UMK menggerakkan pelbagai program penyelidikan, pembangunan dan latihan dalam bidang AI, pembelajaran mesin dan pembelajaran mendalam," katanya. Arham berkata dengan adanya platform digital berasaskan AI, pelajar boleh mengakses bahan pembelajaran secara dalam talian dengan cepat dan mudah untuk mencari solusi dan bimbingan melalui chatbot pintar tanpa batas masa serta lokasi. "Kaedah ini mampu meningkatkan keberkesanan pembelajaran kendiri dan memperluas akses kepada pendidikan lebih inklusif termasuk menyesuaikan strategi pengajaran agar lebih berkesan, menarik dan berimpak tinggi. "Dengan adanya penguasaan terhadap teknologi ini UMK bertekad membentuk generasi baharu yang bukan sahaja berilmu dan berdaya saing, tetapi juga memiliki jiwa kreatif, nilai kemanusiaan dan kebijaksanaan teknologi dalam menghadapi era Revolusi Industri 5.0," katanya. – BERNAMA
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035