|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus membuktikan keunggulannya sebagai universiti berteraskan kelautan dan sains akuatik apabila mencatat pelbagai pencapaian membanggakan dalam penarafan universiti dunia bagi 2025.
Kejayaan itu sekali gus menegaskan kedudukan UMT sebagai antara institusi pendidikan tinggi utama negara yang berdaya saing di persada global.
Naib Canselor UMT, Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim, berkata kejayaan berterusan itu hasil usaha gigih seluruh warga universiti, selain strategi pembangunan akademik dan penyelidikan yang dirancang dengan berkesan.
"Pencapaian ini bukan sekadar angka dalam penarafan, tetapi simbol dedikasi warga UMT yang sentiasa komited memajukan ilmu, penyelidikan dan inovasi demi manfaat masyarakat serta kemakmuran negara," katanya.
Dalam QS World University Rankings (WUR) 2025, UMT melonjak ke kedudukan 801–850 dunia dan berada di tangga ke-195 Asia, menempatkannya dalam kelompok 20 peratus universiti terbaik rantau ini.
Universiti itu turut mencatat prestasi cemerlang dalam Times Higher Education (THE) Rankings apabila berada dalam kelompok 301–350 Asia serta 251–300 bagi kategori Young University Rankings, menggambarkan pertumbuhan akademik dan penyelidikan yang konsisten.
Dalam bidang tujahan utamanya, Ilmu Kelautan dan Sumber Akuatik, UMT menduduki tangga 301–350 dunia dalam QS by Subject 2025.
Kejayaan ini turut disokong laporan U.S. News & World Report yang menamakan UMT sebagai universiti nombor satu di Malaysia, ke-19 di Asia dan ke-96 dunia dalam bidang maritim dan oseanografi.
Bidang lain seperti sains fizikal, kejuruteraan serta ekonomi dan perniagaan juga menunjukkan peningkatan ketara dengan program ekonomi dan ekonometrik buat pertama kali tersenarai pada kedudukan 551–700 dunia, menandakan kepelbagaian kekuatan akademik universiti itu semakin menyerlah.
UMT turut memperkukuh komitmen terhadap agenda kelestarian sejajar matlamat pembangunan mampan (SDG) dan amalan environmental, social and governance (ESG).
Dalam QS Sustainability Rankings 2025, UMT berada dalam kelompok 33 peratus terbaik dunia (554 daripada 1,751 universiti), manakala dalam THE Impact Rankings 2025, universiti itu melonjak ke kedudukan 401–600, peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya.
Usaha hijau UMT turut diiktiraf apabila berada di tangga ke-160 daripada 1,477 universiti dunia dalam UI GreenMetric 2024. Dalam keterlihatan digital pula, UMT menunjukkan peningkatan dalam Webometrics 2025, menduduki tempat ke-1,492 dunia berbanding 1,642 tahun sebelumnya, hasil peningkatan rujukan akademik antarabangsa.
Pada peringkat nasional, UMT mengekalkan penarafan enam bintang MyRA sejak 2020, membuktikan keutuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi universiti itu. Semua pencapaian ini mengukuhkan kedudukan UMT sebagai hab utama pendidikan dan inovasi maritim serantau.
Hab pendidikan maritim negara
Dalam memperkukuh bidang tujahan, UMT kini giat membangunkan Teaching Shipyard TVET Marine, sebuah fasiliti latihan dan penyelidikan berimpak tinggi yang bakal menjadi pemangkin kepada transformasi pendidikan maritim negara.
Menurut Prof Zamri, projek berimpak tinggi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu sejajar dengan fokus kerajaan dalam Belanjawan 2026 yang menekankan pembangunan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET).
"Teaching Shipyard TVET Marine menjadi platform inovasi yang menggabungkan latihan industri sebenar dengan penyelidikan berteknologi tinggi bagi melahirkan graduan berkemahiran dalam bidang pembinaan kapal, teknologi elektrik dan hidrogen serta penyelenggaraan maritim moden," katanya.
Inisiatif itu juga dijangka membuka peluang kolaborasi strategik antara UMT, industri serta rakan antarabangsa dalam penyelidikan, perkongsian kepakaran dan pemindahan teknologi.
Ia menjadi sebahagian daripada agenda Ekonomi Biru (Blue Economy) yang diterajui UMT bagi menyokong pembangunan negara ke arah masa depan mampan dan lestari.
Kini, UMT tersenarai dalam kelompok 300 universiti terbaik dunia dalam bidang maritim dan oseanografi, memperkukuh peranannya sebagai satu-satunya universiti awam di Malaysia yang menawarkan rangkaian lengkap program maritim termasuk Teknologi Maritim, Seni Bina Kapal, Sains Nautika, Pengurusan Maritim dan Informatik Maritim.
Saintis UMT diiktiraf dunia
Kecemerlangan penyelidikan UMT terus menyerlah apabila 26 pensyarahnya tersenarai dalam pangkalan data Stanford Elsevier Top 2% Scientists 2025, yang menilai penyelidik berimpak tinggi di peringkat antarabangsa.
Daripada jumlah itu, tujuh penyelidik disenaraikan dalam kategori Sepanjang Kerjaya (Whole Career), manakala 19 lagi dalam kategori Setahun (Single-Year 2024).
Antaranya ialah Prof Dr Su Shiung Lam, Prof Dr Meisam Tabatabaei, Prof Dr Yussuf Chisti, Prof Dr Mohd Lazim Abdullah dan Prof Dr Wan Iryani Wan Ismail.
Pengiktirafan ini menjadi bukti bahawa penyelidik UMT mampu berdiri sebaris saintis terbaik dunia serta menyumbang kepada penyelesaian cabaran global dari Pantai Timur Malaysia.
Jayakan visi global
Secara keseluruhan, pencapaian 2025 membuktikan UMT terus berkembang pesat sebagai institusi maritim yang berdaya saing pada peringkat antarabangsa.
Pada tahun sama, UMT memperkenalkan tiga program baharu iaitu Sarjana Muda Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Elektrik (Tenaga dan Kuasa) dengan Kepujian, serta Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim) dengan Kepujian (Dual Degree).
Penawaran program baharu itu sejajar dengan keperluan semasa negara dan dijangka melahirkan tenaga pakar dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, teknologi elektrik dan maritim pada masa hadapan.
Dengan kekuatan akademik, penyelidikan dan agenda kelestarian, UMT kini melangkah yakin memperkukuh peranannya sebagai universiti peneraju ilmu lautan dan sumber akuatik.
Aspirasi UMT seiring dengan visi Malaysia sebagai negara maritim yang mampan dan berdaya saing, dengan tekad berada dalam kelompok 100 universiti terbaik Asia dalam tempoh lima tahun akan datang.
Dalam pada itu, UMT bakal meraikan 2,539 graduan pada Istiadat Konvokesyen Ke-23 yang berlangsung dari 26 hingga 29 Oktober ini di Dewan Sultan Mizan. Graduan terdiri daripada penerima ijazah sarjana muda, diploma serta pascasiswazah termasuk PhD dan sarjana.
Pelbagai anugerah disampaikan kepada graduan cemerlang termasuk Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), Anugerah Pingat Emas Canselor, Anugerah Pro Canselor dan Anugerah Naib Canselor.
Istiadat berprestij itu sekali lagi menzahirkan komitmen UMT dalam melahirkan graduan holistik, berdaya kepimpinan serta bersedia mendepani cabaran global. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |