|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA NERUS: Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah mahu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam suasana pasaran kerja yang semakin kompetitif.
Baginda yang juga Canselor UMT menitahkan pihak pengurusan universiti memberi tumpuan kepada usaha melahirkan pelajar bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, tetapi memiliki nilai tambah seperti kebolehan berkomunikasi, daya kepimpinan, berfikir secara kritikal dan berdaya tahan dalam menghadapi tekanan.
"Kemajuan teknologi seperti internet, kecerdasan buatan (AI) dan persekitaran maya sudah mengubah cara mengakses maklumat dan menyampaikan ilmu.
"Pembelajaran kini tidak lagi terhad di bilik kuliah, malah boleh berlaku secara interaktif dan bersifat kendiri di ruang digital tanpa sempadan.
"Universiti perlu sentiasa peka dan bersedia menghadapi cabaran ini dengan berani dan bijaksana. Universiti perlu menjadi peneraju dalam menerapkan teknologi baharu ini demi membentuk masyarakat berpengetahuan, berinovasi dan beretika selaras dengan aspirasi Society 5.0 iaitu masyarakat pintar yang menyeimbangkan kemajuan teknologi dan kesejahteraan manusia," titah baginda pada Majlis Konvokesyen Ke-23 UMT di Dewan Sultan Mizan, di sini, semalam.
Sultanah Nur Zahirah bertitah, dalam dunia yang semakin mencabar dan kompetitif ini, keupayaan graduan untuk menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran kerja amat penting.
Baginda turut menasihatkan graduan, agar menjadi pemangkin motivasi untuk UMT terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam bidang tujahan iaitu ilmu kelautan dan sumber akuatik.
"Beta percaya, dengan fokus yang jelas, kepakaran yang diiktiraf dan jaringan strategik yang luas, UMT mampu melakar nama sebagai pusat rujukan unggul di rantau ini dan di peringkat global," titah baginda.
Pada majlis istiadat konvokesyen ke-23 UMT tahun ini, seramai 2,539 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |