|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| LIPIS: Ekspedisi Kajian Kelestarian Trek Gunung Tahan dari Merapoh ke Kuala Tahan 2025 dilaksanakan atas hasrat Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi meneliti serta menambah baik kemudahan di taman negara berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal, berkata baginda bertitah demikian memandangkan Taman Negara Merapoh memiliki potensi besar untuk dibangunkan.
Katanya, ekspedisi anjuran Kerajaan Pahang melalui Majlis Rekreasi Pahang (MRP) itu seperti yang dititahkan Sultan Pahang untuk memberi cadangan, penambahbaikan kemudahan di sepanjang trek dari Gunung Tahan.
"Yang paling penting kita tengok keperluan yang utamanya pembinaan tapak perkhemahan, mungkin dari segi penempatan kabin-kabin, pembinaan jambatan gantung, pembinaan tandas atau kemudahan lain.
"Selain itu soal keselamatan turut diberikan keutamaan daripada segi papan tanda atau penunjuk arah, kita akan tengok keseluruhan.
"Kalau kita tengok, Gunung Tahan ini memiliki potensi besar, sayang kalau kita tidak bangunkan sepenuhnya dan itulah hasrat daripada Ekspedisi Kajian Kelestarian Trek Gunung Tahan dari Merapoh ke Kuala Tahan 2025," katanya.
Beliau berkata demikian pada pelepasan Ekspedisi Kajian Kelestarian Trek Gunung Tahan dari Merapoh ke Kuala Tahan 2025 membabitkan 54 peserta mewakili 20 agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan di Taman Negara Pahang, Sungai Relau.
Fadzli berkata, selain daripada kemudahan penginapan dan keselamatan, pihaknya turut meninjau capaian komunikasi di laluan sejauh 87 kilometer berkenaan.
"Dalam ekspedisi ini capaian internet dan komunikasi juga akan diambil kira.
"Saya selaku EXCO yang bertanggungjawab dalam komunikasi dan multimedia akan mengemukakan cadangan ini kepada pihak SKMM (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia).
"Hasil penelitian ekspedisi gunung berketinggian 2,187 meter akan dipersembahkan kepada baginda untuk tindakan selanjutnya," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |