|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KOTA SAMARAHAN: Graduan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) diseru tidak berhenti menimba ilmu selepas menamatkan pengajian, sebaliknya meneruskan usaha memperkaya diri dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak merangkap Canselor UNIMAS, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menegaskan kejayaan akademik diraih bukan sekadar simbol kecemerlangan peribadi, tetapi juga satu amanah besar yang menuntut tanggungjawab kepada keluarga, masyarakat dan tanah air.
Menurut beliau, ilmu dimiliki perlu dijadikan cahaya menerangi kehidupan bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga kepada masyarakat di sekeliling agar manfaatnya dapat dirasai bersama.
"Dalam sejarah bangsa-bangsa besar, kejayaan mereka tidak lahir daripada kekayaan sumber alam semata-mata, tetapi daripada kekuatan nilai, kejujuran dan tekad menegakkan kebenaran serta keadilan," katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-29 UNIMAS di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra, di sini, hari ini.
Turut hadir, isteri beliau Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi; Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Tan Sri Sulong Matjeraie; Ahli Lembaga Pengarah UNIMAS yang juga Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid serta Naib Canselor UNIMAS, Prof Dr Ahmad Hata Rasit.
Seramai 4,100 graduan memperoleh ijazah masing-masing dalam pelbagai peringkat pengajian dari Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma Pascasiswazah Pendidikan.
Pada sidang pertama hari ini, 123 graduan menerima PhD.
Tambah Wan Junaidi, ilmu bukanlah matlamat akhir dalam kehidupan seseorang, sebaliknya alat penting untuk membina keadilan, kemajuan dan kesejahteraan umat manusia secara menyeluruh.
"Gunakan ilmu pengetahuan yang diperoleh untuk memperbaiki kehidupan serta memberi manfaat kepada masyarakat. Apabila ilmu dimanfaatkan dengan penuh tanggungjawab, kejayaan dicapai membawa kebaikan bukan sahaja kepada diri, tetapi juga kepada negeri dan negara," katanya.
Beliau turut mengingatkan pendidikan tidak berakhir dengan segulung ijazah, sebaliknya perjalanan sepanjang hayat yang memerlukan usaha berterusan untuk memperbaharui pengetahuan serta menyesuaikan diri dengan perubahan dunia.
Dalam menghadapi cabaran global masa kini, katanya graduan perlu menggunakan ilmu dengan bijaksana bagi membentuk masyarakat berdaya tahan, menjaga kelestarian alam sekitar dan memperkukuh kesejahteraan bersama, khususnya di bumi Sarawak.
Menurutnya lagi, semangat ingin tahu dan sikap rendah hati merupakan kunci kepada pembelajaran sepanjang hayat, kerana hanya dengan ilmu yang diamalkan dengan disiplin dan kasih, lahirlah insan berakhlak mulia serta berjiwa besar.
"Pembelajaran tidak berhenti di sini. Jadikan pengalaman di UNIMAS sebagai asas untuk meneruskan perjalanan ilmu dan berbakti kepada masyarakat," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |