Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Fatin Farhana Ariffin
Title :Siti dilantik Profesor Adjung dalam bidang keusahawanan di UiTM
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :06 November 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
SHAH ALAM: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dilantik Profesor Adjung dalam bidang keusahawanan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkuat kuasa 15 Oktober lalu sehingga 15 Oktober 2027. Siti, 46, terharu atas penghargaan dan kepercayaan UiTM dengan pelantikan itu yang dibuat berdasarkan pengalaman luas dalam bidang perniagaan. "Saya bersyukur terima pelantikan sebagai Profesor Adjung dalam bidang keusahawanan UiTM. Saya bukanlah seorang ahli perniagaan yang masyhur, sebbaliknya, sebagai selebriti yang terbabit dalam bidang perniagaan. "Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk berjaya dalam bidang perniagaan. Terharu dengan pelantikan ini sebab ia adalah amanah besar buat saya yang sudah dua dekad dalam industri seni. "Saya menilai dan melihat pelantikan ini lebih kepada sumbangan saya kepada anak bangsa. Ramai sebenarnya yang berpotensi besar dan kita harus beri pulang dan ruang buat mereka terutama pelajar. "Harapannya, pembabitan saya ini dapat menarik lebih ramai pelajar untuk menjadi usahawan yang berjaya," katanya pada majlis penyerahan surat pelantikan sebagai Profesor Adjung di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin UiTM di sini, hari ini. Pelantikan itu disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin. Majlis itu dihadiri barisan pengurusan tertinggi UiTM, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) selaku fakulti pengusul pelantikan dan wakil industri. Pelantikan Siti sebagai Profesor Adjung adalah pengiktirafan UiTM terhadap sumbangan besarnya bukan sahaja sebagai ikon seni negara, tetapi sebagai usahawan wanita berdaya saing yang berjaya membina empayar perniagaan melalui jenama SimplySiti. Kejayaan Siti menampilkan gabungan antara kreativiti, integriti dan daya inovasi dalam mengangkat produk tempatan ke peringkat antarabangsa, menjadi inspirasi kepada ribuan usahawan muda dan mahasiswa di seluruh negara. Sebagai Profesor Adjung UiTM, Siti memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar dan warga akademik melalui perkongsian pengalaman sebenar dunia keusahawanan. Siti juga akan membantu memperkukuh hubungan strategik antara UiTM dan industri kreatif serta membuka peluang kerjasama rentas bidang dalam pengkomersialan idea dan inovasi pelajar. Siti berkata, beliau sudah dimaklumkan mengenai tugasannya selepas dilantik Profesor Adjung UITM. "Sebagai Profesor Adjung, saya ada beberapa tugasan yang perlu dibuat dan saya akan berkongsi ilmu mengenai bagaimana hendak memulakan perniagaan dengan pengalaman yang saya ada. "Disebabkan dunia sebenar sangat mencabar dan saya sedang melaluinya, dengan ilmu yang ada, saya akan kongsi dengan pelajar. "Sebelum saya terima pelantikan ini, saya melihat pada besarnya tanggungjawab. Apa yang saya boleh beri, saya akan cuba laksanakan dengan baik dan sesuai dengan masa saya," katanya. Pelantikan Siti sebagai Profesor Adjung mencerminkan komitmen UiTM dalam memperkasa pelajar agar menjadi usahawan berdaya tahan dan beretika, sejajar dengan aspirasi universiti untuk menjadi Globally Renowned University by 2025. UiTM percaya bahawa kolaborasi strategik dengan tokoh industri berpengaruh seperti Siti Nurhaliza akan melahirkan generasi baharu graduan yang bukan sahaja cemerlang secara akademik, tetapi mampu menjadi pemimpin dan pencipta peluang dalam dunia keusahawanan global.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035