Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Zahratulhayat Mat Arif
Title :Majlis konvokesyen bertukar sebak, bapa terima ijazah 2 pelajar UPSI maut nahas di Gerik
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :11 November 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
TANJUNG MALIM: Suasana penuh emosi menyelubungi Dewan Tunku Canselor yang menjadi lokasi berlangsung Majlis Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini, ketika nama Allahyarham Nurly Shahirah Azman dan Fatin Nasrien Fadli dipanggil. Dua pelajar itu antara yang terkorban dalam kemalangan bas pelancong di Lebuhraya Timur–Barat berhampiran Tasik Banding di Gerik, dekat sini pada 9 Jun lalu, yang turut meragut 13 nyawa mahasiswa UPSI lain. Suasana di dewan bertambah sayu apabila ibu bapa kedua-dua pelajar itu berjalan ke pentas - langkah yang berat dan penuh sebak untuk menerima ijazah sebagai mewakili dua pelajar itu yang pergi buat selama-lamanya. Ijazah anugerah (anumerta) itu disampaikan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, kepada bapa Nurly Shahirah, Azman Mohamad, 63, dan bapa Fatin Nasrien, Fadli Abd Rahman, 50. Tuanku Zara, yang juga Canselor UPSI turut dilihat mengesat air mata selepas menyampaikan sijil berkenaan, sambil menonton video montaj mengenai tragedi yang ditayangkan semasa majlis. Sementara itu, Azman ketika ditemui mengaku bangga, namun pada masa sama berat hati apabila menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas (Kepujian) hasil kerja keras arwah anaknya sebelum pemergiannya. "Apabila namanya dipanggil, saya gembira tetapi bercampur dengan kesedihan yang mendalam. Alhamdulillah, saya tetap kuatkan diri. "Saya tidak mahu menangis di atas pentas walaupun hati sangat sedih. Saya cuba tersenyum, tetapi jauh di sudut hati, saya tetap merinduinya," katanya. Namun di sebalik kesedihan, terselit rasa lega apabila mengetahui impian Nurly masih diteruskan abangnya, Mohd Najmuddin, yang kini menyambung pengajian dalam program pendidikan jarak jauh dalam bidang Pendidikan Khas, sebagai tanda penghormatan terhadap cita-cita arwah adiknya. "Abangnya sedang meneruskan apa yang dia mulakan. Dia mahu menyempurnakan apa yang Nurly tidak sempat capai," katanya. Ditanya bagaimana rasanya kembali ke kampus yang menyimpan banyak kenangan anaknya, Azman terdiam seketika sebelum menjawab: "Itulah soalan paling sukar". "Sebagai seorang ayah, hati mana tidak pilu... saya sentiasa berharap dapat melihat anak sendiri naik ke pentas itu, tetapi akhirnya sayalah yang melakukannya. "Namun, Allah telah aturkan segalanya dengan sempurna. Walaupun dia tidak dapat menerimanya sendiri, saya percaya semua ini telah tertulis oleh-Nya," katanya sambil bergenang air mata. Sementara itu, Fadli menerima skrol bagi pihak arwah anaknya, Fatin Nasrien, yang sepatutnya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik dengan Pendidikan) tahun hadapan sebelum pemergiannya. "Saya rasa gembira dan sedih dalam masa sama. Gembira, ya, tetapi kesedihannya jauh lebih besar. "Dia harapan saya. Dia anak sulung dan adik-adiknya semua menjadikannya contoh. Terima kasih kepada UPSI kerana masih mengingatinya. Ia sangat bermakna bagi kami," katanya. Majlis konvokesyen berlangsung mulai hari ini hingga 18 November, meraikan keseluruhan 7,173 graduan.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035