Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :BERNAMA
Title :UPSI sebaris universiti terkemuka dunia bidang pendidikan - Naib Canselor
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :11 November 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengharumkan nama negara di peringkat global apabila meraih pelbagai pengiktirafan antarabangsa dan kejayaan akademik yang meletakkan institusi bersejarah itu sebaris universiti terkemuka dunia. Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata UPSI kini berada di tangga ke-126 universiti terbaik dunia dalam bidang pendidikan berbanding kedudukan ke-151 sebelum ini, sekali gus menunjukkan peningkatan ketara dalam penarafan QS World University Rankings by Subject. Beliau berkata, dalam penarafan QS World University Rankings Asia 2026, UPSI turut melonjak ke kedudukan ke-156 terbaik Asia, berbanding tempat ke-165 pada tahun sebelumnya. "Dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2026, UPSI kekal kukuh dalam kelompok 601 universiti terbaik dunia manakala di Malaysia, UPSI berada di kedudukan kesembilan dalam kalangan institusi pengajian tinggi (IPT). "Kejayaan ini mencerminkan keutuhan visi dan komitmen UPSI dalam memperkukuh reputasi antarabangsa serta menjadikan Muallim sebagai pusat kecemerlangan pendidikan global," katanya ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Istiadat Konvokesyen UPSI ke-27 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini. Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang juga Canselor UPSI berkenan berangkat ke majlis itu dan menyampaikan ijazah pada sesi pertama istiadat berkenaan. Sementara itu, Md Amin berkata, usaha meletakkan nama UPSI dan Muallim di persada dunia akan terus diperhebat menerusi pelbagai inisiatif strategik, penarafan antarabangsa dan program berimpak tinggi. "Antara pengiktirafan membanggakan yang diterima UPSI tahun ini termasuklah Tadika Bitara Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC)-UPSI yang menjadi prasekolah pertama di Malaysia diiktiraf oleh Rangkaian Sekolah Bersekutu (ASPnet) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)," katanya. Beliau berkata, kejayaan turut dilakar apabila Prof Madya Dr Norliza Jamaluddin daripada Fakulti Bahasa dan Komunikasi dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Akademia Terbaik Bahasa Melayu, manakala pelajar Ng Zhen Fan Shankar diiktiraf sebagai Tokoh Siswa Terbaik Negara. Md Amin berkata, UPSI turut menerima pengiktirafan 4 Diamond dalam Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030, Anugerah Tarian Tradisional Terbaik di Festival Tarian Korea Antarabangsa ke-34 di Daejeon, Korea Selatan, serta Anugerah Emas bagi projek inovatif GeoAttendance di Taiwan. Konvokesyen kali ini meraikan sebanyak 7,173 graduan yang berlangsung bermula hari ini hingga 18 November membabitkan lapan sesi. Daripada jumlah tersebut, 5,160 membabitkan graduan prasiswazah, iaitu 693 graduan Diploma dan 4,467 graduan Ijazah Sarjana Muda. – BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035