|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| SERDANG: Satu Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Kriptografi Pasca-Kuantum 2025 (ICE-PQC 2025) berlangsung selama dua hari bermula hari ini hingga esok di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.
Program yang dianjurkan UPM bersama Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM) dengan kerjasama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) disempurnakan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, yang turut mewakili Perdana Menteri.
Dalam ucapan perasmiannya, Shamsul menegaskan bahawa keselamatan siber bukan sekadar isu teknikal, tetapi turut merangkumi soal kepercayaan negara, kestabilan ekonomi dan kedaulatan yang perlu berevolusi dalam menghadapi era kuantum.
"Inisiatif ini mencerminkan komitmen negara dalam memacu kedaulatan digital serta memperkukuh keselamatan siber negara dalam menghadapi cabaran era komputer kuantum.
"Pelaksanaan Pelan Migrasi PQC Kebangsaan 2025–2030 di bawah penyeliaan NACSA menjadi panduan strategik bagi memastikan peralihan sistem kriptografi negara berlaku secara selamat dan selaras dengan piawaian antarabangsa.
"Langkah ini memperkukuh usaha membina kepercayaan digital negara yang berdaya tahan, sekali gus meningkatkan keyakinan global terhadap keselamatan digital Malaysia," katanya.
Shamsul turut menyeru agar semua pihak termasuk kerajaan, universiti dan industri berganding bahu dalam membina ekosistem kriptografi tempatan yang mampan serta memperkasa bakat nasional dalam bidang keselamatan siber dan teknologi pasca-kuantum.
Untuk rekod, persidangan ini menghimpunkan pakar kriptografi, penyelidik, pembuat dasar serta pemain industri keselamatan digital dari dalam dan luar negara bagi membincangkan cabaran serta penyelesaian dalam menghadapi era komputer kuantum, yang dijangka bakal mengubah sepenuhnya landskap keselamatan siber dunia.
Seiring dengan peningkatan ancaman digital global, teknologi Kriptografi Pasca-
Kuantum menjadi fokus utama perbincangan bagi memastikan sistem keselamatan digital negara berdaya tahan terhadap ancaman siber masa depan, sekali gus menjamin perlindungan terhadap data dan komunikasi strategik negara.
Sementara itu, Pengarah PTPKM, Prof Dr Muhammad Rezal Datuk Kamel Ariffin, berkata penganjuran ICE-PQC 2025 adalah sebahagian daripada usaha strategik negara untuk memperkukuh kedaulatan kriptografi nasional serta menyatukan kepakaran pelbagai pihak dalam membangunkan ekosistem keselamatan digital yang mampan.
"Persidangan ICE-PQC 2025 menampilkan pelbagai sesi utama termasuk pembentangan akademik, forum teknologi dan pameran industri oleh syarikat tempatan serta antarabangsa yang memperkenalkan penyelesaian terkini dalam bidang keselamatan digital dan kriptografi pasca-kuantum," kata Rezal.
Antara topik utama yang dibincangkan ialah pembangunan ekosistem keselamatan siber berdaya tahan kuantum di Malaysia, strategi peralihan kepada algoritma kriptografi baharu yang diiktiraf National Institute of Standards and Technology (NIST), serta langkah membina dasar dan polisi keselamatan digital negara berasaskan PQC. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |