|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KAJANG: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR), baru-baru menganjurkan program RiverHeart: "From Polluted to Pristine" di Denai Sungai Kebangsaan @ Sungai Langat, bagi menangani masalah peningkatan populasi spesies ikan asing.
Pengarah program, Syahriz Haiqal Syaiful Rizal, berkata aktiviti itu bertujuan memulihkan ekosistem dan biodiversiti sungai melalui pendekatan intervensi berasaskan komuniti selaras dengan tuntutan elemen Pelan Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia.
"Program ini turut membabitkan penyertaan dari universiti awam (UA) lain antaranya Kelab Hijau Putra, Universiti Putra Malaysia dan One Health Students Club, Universiti Sains Islam Malaysia, selain dibantu Skuad Pemburu Ikan Asing.
"Ia juga inisiatif meningkatkan kesedaran dan membentuk nilai tanggungjawab generasi muda terhadap kepentingan pemeliharaan sungai demi kelestarian alam sekitar," katanya.
Tambahnya, pelaksanaan program RiverHeart turut memberi tumpuan kepada aktiviti utama iaitu penangkapan serta pelupusan ikan bandaraya dan ikan asing menggunakan kaedah menjala.
Dalam program sehari itu, peserta berjaya menangkap lebih 1,200 ikan bandaraya dengan jumlah berat keseluruhan sekitar 800 kilogram. Semua hasil tangkapan ikan asing dikumpul, diukur dan ditimbang bagi tujuan merekod dan menilai jumlah keseluruhan hasil tangkapan setiap kumpulan peserta. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |