|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUALA PILAH: Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Yayasan TM (YTM) memperkukuh pembangunan komuniti luar bandar menerusi program Rural Empowerment and Community Help 2.0 (REaCH 2.0) di Kampung Juasseh Tengah dan kawasan sekitar.
Program itu adalah kesinambungan REaCH 1.0 yang bermula di Kuala Terengganu sebelum ini, bagi memperkukuh sosio-ekonomi desa melalui pendidikan, keusahawanan, inovasi teknologi hijau dan kelestarian alam sekitar.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, yang merasmikan Festival Perpatih sebagai kemuncak program, menekankan kepentingan kerjasama antara sektor awam, akademia dan industri dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat desa.
"Program ini membuktikan bahawa apabila sektor awam, akademia dan industri berganding bahu, hasilnya memberi kesan besar kepada masyarakat.
"Ia bukan sahaja menyediakan kemudahan, tetapi membina keyakinan dan semangat berdikari dalam kalangan penduduk," katanya dalam ucapan perasmian di Sekolah Kebangsaan Pasir Ambor, di sini, kelmarin.
Festival itu diadakan bagi meraikan kejayaan projek komuniti di bawah REaCH 2.0 dan mengukuhkan semangat muafakat antara penduduk, pelajar serta rakan kolaborasi.
Acara terbabit turut mempamerkan budaya Negeri Sembilan melalui persembahan tarian piring, pameran adat Perpatih, pertandingan kraf 3R, sukan rakyat serta pemeriksaan kesihatan percuma.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Juasseh, Puan Seri Bibi Harliza Mohd Khalid; Pemangku Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan yang juga mewakili Naib Canselor UiTM, Prof Madya Ts Dr Noorlis Ahmad dan Pengarah Yayasan TM, Ainol Shaharina Sahar.
Sementara itu, Ketua Projek REaCH 2.0, Prof Madya Ts Dr Nur Kamaliah Mustaffa, berkata festival itu bukan hanya meraikan budaya setempat tetapi menjadi platform inklusif penyatuan pelbagai pihak.
"Ia satu platform menyatukan universiti, industri, agensi kerajaan, sekolah serta komuniti tempatan dalam semangat 'Perkongsian Ilmu dan Kelestarian Komuniti'," katanya.
Mengulas mengenai pembangunan komuniti, Ainol Shaharina pula menjelaskan bahawa Yayasan TM komited menyokong langkah itu melalui inisiatif berasaskan pendidikan dan teknologi yang mampan.
"Kami berhasrat untuk terus membantu masyarakat luar bandar membina keupayaan baharu, sama ada dalam keusahawanan, pembelajaran digital atau amalan lestari.
"Matlamatnya ialah supaya komuniti dapat berkembang dengan sumber dan ilmu yang mereka miliki sendiri," katanya.
Sepanjang pelaksanaan program, pelbagai inisiatif berteraskan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) dilaksanakan, termasuk projek Eco SmartShroom, sistem solar, Smart Classroom, Sistem Pengurusan Air Hujan (SPAH), Stesen 3R dan E-Learn Lounge.
Selain itu, sebanyak RM60,000 dana suntikan diserahkan kepada 20 usahawan tempatan pada festival berkenaan sebagai dorongan memperkukuh ekonomi komuniti melalui perniagaan dan perusahaan kecil.
Dengan kejayaan program itu, UiTM dan Yayasan TM menegaskan komitmen berterusan terhadap pembangunan komuniti secara lestari, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |